
KOTA KINABALU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah menafikan sebarang usahasama pihaknya dengan mana-mana individu atau syarikat sebagai wakil jabatan berhubung kerja-kerja menjahit baju korporat serta baju istiadat.
APM Sabah dalam kenyataan media yang dimuat naik di Facebook, mengesahkan berlaku pemalsuan dokumen, tandatangan, serta penggunaan logo tanpa kebenaran, alamat dan nama pegawai APM dalam surat setuju terima dan tawaran sebut harga bagi kerja-kerja tersebut.
“APM Sabah juga ingin menegaskan bahawa penganjur sama sekali tidak pernah mendapatkan kebenaran untuk menggunakan logo dan nama APM.
“Pihak berkenaan boleh dianggap melakukan kesalahan sekiranya menggunakan logo dan nama agensi secara tidak sah pada barangan atau perkhidmatan, termasuk dalam sebarang tanda, iklan, invois, katalog, surat, dan dokumen perniagaan yang berkaitan, tanpa mendapat kebenaran daripada agensi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Justeru itu, APM Sabah menasihati masyarakat agar sentiasa peka dan berhati-hati dengan sebarang penipuan yang kini berleluasa khususnya di media sosial.






