
KUCHING – Sarawak bakal mengeksport antara 30 hingga 50 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui ke Sabah menjelang hujung tahun ini, melalui sambungan talian penghantaran sepanjang 34 kilometer dengan kapasiti 275 kilovolt.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen negeri ini untuk menyokong inisiatif bekalan tenaga yang lebih mampan, selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar Sarawak mempertimbangkan pembekalan tenaga ke Selatan Filipina.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek penyambungan Sarawak-Sabah yang dijangka beroperasi tahun ini akan menjadi platform utama untuk merealisasikan aspirasi tersebut.
“Penyambungan ini bukan sahaja akan memenuhi permintaan domestik, tetapi juga berpotensi untuk memperkukuh kerjasama serantau menerusi Projek Penyambungan Sabah-Palawan di bawah kerangka Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA),” katanya ketika menyampaikan ucapan utama di Majlis Industri Tenaga (EIC) Connect Energy Borneo 2025, semalam.
Sarawak turut merancang untuk menyambungkan tenaga ke Brunei Darussalam menjelang 2030, dengan kapasiti eksport awal antara 30MW hingga 50MW. Abang Johari turut menekankan potensi Borneo dan Kalimantan, Indonesia, untuk menjadi “Bateri ASEAN” dalam menyediakan tenaga boleh diperbaharui kepada negara-negara jiran melalui Grid Kuasa ASEAN.
Selain itu, Sarawak Energy baru-baru ini melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) pertama di Malaysia bagi menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat.
“Penyimpanan tenaga menjadi komponen penting untuk menampung penggunaan tenaga solar yang semakin berkembang, dan kami sedang meneroka solusi alternatif seperti penyimpanan hidro pam untuk memastikan sistem tenaga yang lebih stabil,” jelas Abang Johari.
Dalam hal ini, Sarawak juga berhasrat untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035. Dengan lebih 70% tenaga elektrik di Sarawak dijana daripada kuasa hidro, negeri ini kekal menjadi antara pengeluar karbon terendah di ASEAN, menjadikannya pengerak utama dalam peralihan tenaga bersih di Asia Tenggara.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Sarawak untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai hub tenaga mampan di rantau ini, serta memperkasa kerjasama serantau untuk mencapai matlamat pembangunan tenaga yang lebih lestari dan mampan.







