
PADANG BESAR – Syarikat pemula Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Athanliz Innovations Sdn Bhd (AISB), berjaya membangunkan 30 produk berasaskan mangga Harumanis dalam usaha memperkembangkan industri pertanian negeri.
Pengarah Urusan AISB, Dr. Athifah Najwani Shahidan berkata, produk tersebut merangkumi makanan, minuman dan nutri kosmetik, termasuk 25 jenis makanan serta lima produk kecantikan berasaskan raja mangga itu.
“Bagi tahun ini, kami memperkenalkan lima variasi kuih raya berasaskan Harumanis iaitu kuih tat Harumanis, Almond London Harumanis, Cornflakes Harumanis, Soft Cookies Harumanis dan samperit Harumanis.
“Kami juga menggunakan teknologi moden untuk menghasilkan ekstrak Harumanis yang mengekalkan rasa dan kualiti dalam setiap produk,” katanya pada sidang akhbar pelancaran produk itu di Kafe ar-Rehlah, Pusat Agro Pelancongan Bukit Temiang, dekat sini semalam.
AISB merupakan syarikat pemula UiTM Perlis yang diberi kepercayaan untuk mengkomersialkan inovasi berasaskan Harumanis sejak tahun 2022.
Produk syarikat itu telah menembusi pasaran antarabangsa menerusi penyertaan dalam festival makanan dan pertandingan inovasi di Perancis, Emiriah Arab Bersatu, Thailand dan China.
Menurut Athifah, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan usahawan tempatan dan menyasarkan sebanyak 50,000 unit kuih raya dapat dipasarkan sempena Aidilfitri nanti.
“Kami menawarkan harga mampu milik di bawah RM20 bagi setiap pek kuih raya agar lebih ramai dapat menikmati kelazatan produk ini.
“Orang ramai juga boleh mendapatkan kuih raya Harumanis dan produk lain di bawah jenama Mafera menerusi pembelian atas talian,” ujarnya.
Selain itu, AISB mengamalkan konsep sisa sifar (zero waste) dengan memanfaatkan keseluruhan bahagian buah Harumanis termasuk isi, biji dan kulit.
Langkah ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran tetapi turut meningkatkan nilai tambah kepada industri Harumanis di Perlis.







