
KOTA KINABALU – Sabah digesa terus memperkukuh aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang dalam sektor pelancongan bagi memastikan pertumbuhan industri yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, tanpa pemantauan tegas, pelanggaran berulang akan menjejaskan keyakinan pelancong dan imej Malaysia.
“Sabah mesti terus berusaha mencapai piawaian lebih tinggi agar bukan sahaja diiktiraf kerana keindahan alam semula jadi dan kekayaan budaya, tetapi juga sebagai destinasi bertaraf dunia yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Beliau turut menyokong penuh usaha penguatkuasaan yang dipimpin Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Tawau dan Semporna.
“Operasi mengejut ini mendedahkan pelanggaran serius seperti bot berlebihan muatan, pengusaha tidak berlesen, ketiadaan peralatan keselamatan dan pusat peranginan haram.
“Sebagai langkah susulan, beberapa tindakan pembetulan diumumkan termasuk penutupan resort tidak sah, pelaksanaan insurans mandatori, pemakaian jaket keselamatan secara wajib, penempatan pos perubatan di pulau-pulau, dan penguatkuasaan tempatan yang lebih ketat,” katanya.

Dalam pada itu, Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkongsi berkenaan destinasi pelancongan sehenti baharu di Kota Kinabalu iaitu ‘Tree Have Gold’.
Katanya, produk pelancongan itu menampilkan replika Orang Utan terbesar di dunia serta mempamerkan keunikan Sabah di empat aras, termasuk produk durian dan sarang burung, kraftangan, sebuah kafe dan Pasar Artisan Jesselton yang kekal.
“Inisiatif ini membuktikan bagaimana pemain industri pelancongan Sabah semakin meningkatkan dan mempelbagaikan tawaran mereka, namun secara keseluruhan industri ini juga perlu memperkukuh piawaian bagi menjaga reputasi Sabah sebagai destinasi bertaraf dunia,” ujarnya.






