
KANGAR – Pasukan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) merampas rokok elektronik dan cecair vape bernilai RM315,900 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kangar menerusi Op Taring Alpha 3, kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi bersepadu itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan serta aduan awam berkaitan penjualan vape haram di negeri ini.
Katanya, Op Taring Alpha 3 dilaksanakan mengikut pendekatan REFORM, iaitu gabungan kepakaran pelbagai agensi bagi memaksimumkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Serbuan pertama dijalankan di Kampung Baru, Kangar dengan rampasan 2,083 unit peranti dan cecair vape pelbagai jenama bernilai RM104,150.
“Serbuan kedua pula di Kampung Padang Behor, Kangar merampas 4,235 unit peranti dan cecair bernilai RM211,750,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jumlah keseluruhan rampasan membabitkan 6,318 unit rokok elektronik dan cecair vape dengan nilai pasaran dianggarkan RM315,900.
Azmi berkata, MPK turut mengeluarkan notis kesalahan serta tawaran kompaun kepada penjaga premis kerana melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Beliau menegaskan, semua barangan itu dipercayai untuk tujuan jualan walaupun Kerajaan Negeri Perlis telah menguatkuasakan larangan penjualan vape dan cecair rokok elektronik sejak 1 Ogos lalu.
“PDRM bersama agensi berkaitan akan meneruskan operasi secara berkala bagi membanteras penjualan vape haram dan memastikan kesejahteraan masyarakat,” katanya.





