
KOTA KINABALU – Sabah mahu mempertahankan kejuaraan dalam Sukan Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) yang akan berlangsung di Johor bermula 8 September depan, selepas muncul juara pada edisi lalu di Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan dan Agama Negeri Sabah, Datuk Arifin Mohd Arif berkata, kontinjen Sabah menghantar lebih 200 atlet bagi mewakili negeri.
“Edisi lepas kita adakan di Sabah, edisi lepas kita Johan. Tahun ini, InsyaAllah kita akan cuba untuk mempertahankan kejohanan itu.
“Sasaran kita untuk mencapai johan. Dan mereka sudah berlatih sejak sekian lama dan mudah-mudahan akan tercapai cita-cita daripada agensi kita dari Sabah.
“Kita menghantar lebih 200 atlet atau delegasi Sabah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat dan Penyerahan Bendera Sabah kepada Kontinjen IJPAM Sabah di Raia Hotel, di sini pada Jumaat.

Arifin berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada rekod pencapaian cemerlang atlet Sabah dalam kejohanan sebelum ini, termasuk kejayaan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) baru-baru ini.
“Mudah-mudahan mereka dapat membawa kejayaan untuk negeri kerana sebelum ini sudah ada kejayaan Majlis Sukan Sekolah Peringkat Kebangsaan dan saya yakin kita juga boleh mampu mempertahankan apa yang telah kita capai pada tahun lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru kontinjen Sabah agar menjaga nama baik negeri sepanjang kejohanan, di samping memanfaatkan penyertaan itu sebagai platform untuk mengukuhkan silaturahim dan ukhuwah dengan peserta serta agensi agama lain di seluruh negara.
Katanya, kejohanan ini bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi juga menjadi wadah persahabatan, persaudaraan dan perkongsian ilmu.
“Ini kerana ada lagi nanti konvensyen di sana antara pegawai-pegawai agama, kakitangan agama dan mereka boleh mendapat ilmu daripada perkongsian yang akan diberikan oleh para penceramah dalam konvensyen berkenaan,” ujarnya.




