Saatnya urang Sabah pilih calon berkaliber, bukan sekadar bendera

DEWAN Undangan Negeri Sabah kini sudah dibubarkan, membuka tirai kepada satu lagi episod politik Negeri di Bawah Bayu. Sekali lagi rakyat Sabah dihadapkan kepada peluang bersejarah — sama ada untuk menulis semula kisah baharu penuh makna, atau mengulangi skrip lama yang membosankan.

Namun kali ini suasananya berbeza. Pilihan raya negeri bukan lagi sekadar medan mempertahankan logo, warna dan slogan parti. Ia telah menjadi medan ujian kematangan politik rakyat Sabah — sejauh mana mereka bersedia melangkah keluar dari kepompong kepartian kepada politik yang menilai keupayaan calon dan keberkesanan dasar.

Dalam politik Malaysia hari ini, tidak ada lagi parti yang mampu berdiri sendirian membentuk kerajaan tunggal. Sabah juga tidak terkecuali daripada realiti politik koalisi — sebuah ekosistem politik yang memerlukan kebijaksanaan, tolak ansur dan kesedaran bahawa pemerintahan bukan soal dominasi, tetapi keupayaan membina konsensus.

Calon berkualiti, bukan sekadar warna parti

Dalam konteks inilah, peranan pengundi menjadi lebih penting daripada sebelumnya. Sudah tiba masanya rakyat Sabah melihat jauh melangkaui bendera parti. Pengundi perlu memilih berdasarkan kaliber calon — siapa yang benar-benar layak menjadi jurubicara rakyat di Dewan Undangan Negeri.

Kita terlalu lama hidup dalam romantisme parti. Ramai memilih atas dasar simbol dan sejarah, bukan atas prestasi atau nilai. Namun keadaan Sabah kini menuntut keberanian baharu. Negeri ini tidak boleh lagi terus dikemudi oleh watak-watak lama yang berlegar dalam lingkaran politik sempit.

Kita perlukan generasi pemimpin baharu — yang berani berfikir di luar acuan tradisi, berintegriti tinggi, dan mempunyai kefahaman dasar yang kukuh. Tetapi dalam keghairahan mencari pembaharuan, jangan pula kita terpedaya dengan kosmetik usia. Anak muda belum tentu membawa idea segar jika jiwa mereka masih dibalut ego dan kepentingan peribadi.

Era digital memberi kelebihan besar kepada rakyat. Latar belakang calon boleh disemak, janji boleh dinilai, dan keperibadian boleh diukur. Maka, gunakan kelebihan ini untuk membuat pilihan bijak. Jangan lagi memilih calon yang hidup atas persepsi media sosial, atau yang pandai menunggang isu sensasi tanpa hala tuju dasar. Sabah tidak perlukan penceramah maya, ia perlukan pentadbir nyata yang mampu menyelesaikan masalah air, elektrik dan pembangunan luar bandar.

Integriti mesti menjadi garis ukur utama di kertas undi. Latar pendidikan palsu, rekod moral meragukan, atau gaya populis tanpa dasar yang jelas — semua ini mesti disingkirkan. Jika benar rakyat Sabah ingin melihat perubahan, ia mesti bermula daripada cara memilih calon.

Kestabilan dan akauntabiliti: Dua sayap pentadbiran baharu

Sabah mempunyai sejarah panjang politik yang berombak. Silih berganti ketua menteri, parti berpecah dan bercantum semula, menyebabkan negeri ini sering terperangkap dalam kitaran ketidaktentuan. Namun selepas lebih dua dekad, kesedaran mulai tumbuh — kestabilan bukan lagi slogan, tetapi keperluan asas pembangunan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan besar melebihi RM6 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2026. Peruntukan ini meliputi infrastruktur luar bandar, bekalan air bersih, kesihatan, pendidikan dan penyambungan Lebuhraya Trans-Borneo. Ini bukan sekadar angka; ia isyarat keyakinan Kerajaan Pusat terhadap Sabah yang stabil dan mampu mentadbir dengan matang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kejayaan memperoleh peruntukan besar ini hasil kestabilan politik negeri di bawah kerajaan GRS. Namun di sebalik kenyataan itu, rakyat juga wajar menilai — kestabilan tidak boleh dijadikan alasan mengekalkan status quo.

Kestabilan yang sejati lahir daripada akauntabiliti. Dana besar yang disalurkan hanya akan bermakna jika calon yang dipilih kelak benar-benar menjadi jambatan antara dasar dan rakyat. Soalan yang harus difikirkan pengundi: siapakah calon yang mampu memastikan dana pembangunan sampai ke kampung, bukan berhenti di meja rundingan kontraktor atau dalam bentuk komisen yang menghilangkan makna amanah?

Politik baharu untuk Sabah baharu

PRN kali ini mesti menjadi garis pemisah antara politik lama dan politik baharu. Sabah tidak boleh terus terikat pada budaya ‘siapa bagi lebih, dia menang’. Pengundi harus menilai siapa yang mampu membawa dasar ke bumi, siapa yang tahu memimpin dengan jiwa rakyat.

Kita sudah terlalu lama berpolitik tentang siapa yang memerintah, kini tiba masa berpolitik tentang bagaimana negeri ini ditadbir.

Sabah tidak perlukan lagi dukun tua yang membakar kemenyan di bawah pokok lama.

Sabah perlukan penanam baharu — yang menyemai benih harapan dengan tangan bersih, minda segar, dan jiwa besar.

*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Kurangkan beban pengamal media, sidang media mingguan dilaksana hibrid – Fahmi

GOMBAK – Sidang media mingguan Jurucakap Kerajaan Perpaduan akan dilaksanakan secara hibrid demi mengurangkan bebanan kepada pengamal media susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan krisis tenaga global kini. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bantuan asas, penempatan sementara segera dilaksana buat mangsa kebakaran Sandakan – PM

KERAJAAN Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah sedang menyelaraskan bantuan asas dan penempatan sementara secepat mungkin untuk mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Malaysia anjur DSA dan NATSEC 2026, himpun 1,456 syarikat global

Malaysia anjur DSA dan NATSEC 2026, himpun 1,456 syarikat global

Iran tarik diri pameran DSA 2026

Iran tarik diri pameran DSA 2026

Langkah berani tubuh GPS terbukti selamatkan kedaulatan Sarawak

Langkah berani tubuh GPS terbukti selamatkan kedaulatan Sarawak

Jangan terlena dibuai kedudukan selesa parti

Jangan terlena dibuai kedudukan selesa parti

MA63: PRS sokong ketegasan Abang Jo, pasukan perunding

MA63: PRS sokong ketegasan Abang Jo, pasukan perunding

Perkukuh kesatuan, elak tamak kuasa kunci GPS terus utuh

Perkukuh kesatuan, elak tamak kuasa kunci GPS terus utuh