
PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan kanak-kanak berusia 6 tahun didaftarkan sebagai murid Darjah Satu mulai 2027 menerima reaksi bercampur daripada ibu bapa, dengan sebahagian menyambut baik cadangan itu, manakala ada yang berpendapat ia perlu dilaksanakan secara berhati-hati.
Bagi penjaga yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Ruby, 55, cadangan berkenaan dilihat bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak masa kini yang lebih cepat matang dan mudah menerima pembelajaran.
“Kalau ikutkan budak-budak sekarang, mereka cepat belajar, cepat tangkap dan cepat matang. Jadi pada saya cadangan ini agak baik, cuma ibu bapa perlu ada perancangan awal dari segi ekonomi,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Supian Ismail, 47, yang menyifatkan kemasukan anak ke Darjah Satu pada usia 6 tahun tidak memberi kesan besar dari sudut kewangan.
“Pada saya sama sahaja hantar anak ke Darjah Satu sama ada pada umur 6 atau 7 tahun. Kosnya hampir sama. Mungkin berbelanja awal setahun, tetapi pada masa hadapan kita juga akan jimat setahun,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu bijak merancang perbelanjaan dan mengamalkan gaya hidup sederhana dalam mengurus kos pendidikan anak-anak.
Namun, tidak semua bersetuju dengan cadangan itu. Penjaga yang ingin dikenali sebagai Khalis, 36, berpandangan kos sara hidup yang semakin meningkat menyukarkan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah setahun lebih awal.
“Sekarang ini kos persediaan anak untuk Darjah Satu pun sudah hampir RM4,000 hingga RM5,000,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak masa kini cerdik dan bersedia untuk memasuki alam persekolahan lebih awal.
“Ada kanak-kanak yang cepat tangkap, tetapi ada juga yang perlukan masa persediaan lebih lama sebelum masuk sekolah rendah,” katanya.

Dalam masa sama, Khalis mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi memastikan murid kekal memberi tumpuan terhadap pelajaran.
“Jika murid masuk Darjah Satu pada usia 6 tahun, mereka ada jurang masa yang panjang sebelum peperiksaan besar. Ada kemungkinan sebahagian mereka tidak mengambil pelajaran secara serius,” katanya.
Sementara itu, Supian turut mencadangkan agar pendidikan agama diberi penekanan lebih awal bagi membentuk sahsiah dan akhlak murid seiring kecemerlangan akademik.
“Pendidikan agama penting supaya anak-anak bukan sahaja cerdik dari segi akademik, tetapi juga berakhlak dan berbudi pekerti,” katanya.

Seorang lagi ibu bapa, Norezwaty Mohd Bahror, 45, berpandangan kejayaan dasar itu juga bergantung kepada peranan ibu bapa dalam menyediakan anak-anak dari rumah.
“Tak boleh harapkan 100 peratus pada sekolah. Ibu bapa perlu buat persediaan di rumah, seperti membaca dan mengira, supaya anak lebih bersedia,” katanya.
Secara keseluruhan, tinjauan mendapati cadangan kemasukan murid 6 tahun ke Darjah Satu menerima sokongan bersyarat, dengan kebanyakan ibu bapa menekankan keperluan pelaksanaan berperingkat serta sokongan menyeluruh kepada keluarga dan murid.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Selasa lalu.







