
WANG tunai RM170 juta yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini telah disahkan sebagai hak milik kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan pihak responden yang tidak mencabar permohonan pelucuthakan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan di mahkamah.
Menurut beliau, tindakan itu menjadikan wang berkenaan sebagai milik kerajaan dan proses pemindahan dana ke akaun rasmi kerajaan telah dimulakan.
“Pihak responden tidak mencabar permohonan SPRM untuk pelucuthakan sejumlah wang kira-kira RM170 juta dan ini bermakna secara rasmi wang ini adalah menjadi hak milik kerajaan.
“Proses memasukkan wang ini dimulakan hari ini dan dalam tempoh terdekat akan masuk ke dalam akaun kerajaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Tambah Azam, siasatan terhadap kes berkenaan telah pun selesai dan kini terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk menentukan sama ada sebarang pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Setakat ini, katanya, TPR belum membuat sebarang keputusan berkaitan pertuduhan tersebut.
Semalam, Mahkamah Sesyen dimaklumkan bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak wang tunai melebihi RM169 juta yang disita oleh SPRM.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat, memberitahu perkara itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Menurutnya, peguam bagi kedua-dua responden telah mengemukakan surat bertarikh 28 Ogos kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian mereka.
Susulan itu, pihak pendakwaan memohon agar satu warta pihak ketiga dikeluarkan di bawah Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009 bagi membolehkan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terhadap wang berkenaan tampil membuat tuntutan.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 1 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Permohonan pelucut hak berkenaan difailkan SPRM pada 7 Julai lalu, melibatkan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing yang didakwa disimpan oleh Mohammad Anuar bagi pihak Ismail Sabri.
Selain wang tunai, turut disita dalam siasatan itu ialah 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.







