Ringgit digugurkan daripada pemantauan mata wang oleh Amerika Syarikat

PUTRAJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) menyambut baik pengguguran Malaysia dari senarai pemantauan manipulasi mata wang Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengesahkan status ringgit yang dipacu pasaran.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan Malaysia tidak pernah menggunakan kadar pertukarannya untuk mendapatkan kelebihan daya saing dalam pasaran.

“Jadi, ini adalah sesuatu yang membuktikan kepercayaan dan pendirian kita dalam hal ini. Perkembangan ini amat dialu-alukan,” katanya pada sidang akhbar sempena mengumumkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Suku Ketiga 2024, hari ini.

Laporan separa tahunan Jabatan Perbendaharaan AS dikeluarkan semalam, memantau negara-negara yang mempunyai lebihan perdagangan yang besar berkaitan dengan AS, yang turut aktif menyertai pasaran pertukaran asing untuk mendapatkan kelebihan daya saing.

Abdul Rasheed juga menekankan apa yang lebih penting, pergerakan ringgit harus mencerminkan asas ekonomi negara.

“Jadi, kehadiran kita dalam pasaran asing adalah untuk memastikan tiada turun naik yang berlebihan dan memastikan pasaran yang teratur supaya perniagaan dapat beroperasi dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata, ringgit meningkat berbanding dolar AS sebanyak 14.9 peratus pada Suku Ketiga dan 3.1 peratus setakat tahun ini pada 13 November lalu.

“Prestasi ringgit pada suku ketiga didorong terutamanya oleh peralihan Rizab Persekutuan AS (Fed) ke arah pelonggaran dasar monetari, termasuk penurunan kadar dana persekutuan sebanyak 75 mata asas pada September dan November.

“Dari segi usaha kita untuk menggalakkan perniagaan menghantar pulang pendapatan eksport ke dalam nilai ringgit dan menggalakkan pelabur membawa balik pendapatan dan menukar kepada ringgit… nampaknya telah menunjukkan hasil yang positif,” katanya.

Beliau berkata, usaha ini telah membawa kepada aliran dua hala yang sihat ke dalam pasaran dan membantu menyokong kenaikan ringgit.

Gabenor berkata, purata pusing ganti pertukaran asing harian Malaysia juga meningkat daripada AS$15 bilion (AS$1 = RM4.48) kepada AS$18.2 bilion setakat ini pada tahun ini.

“Sebelum ini, ringgit menyusut sebanyak 10 peratus antara Februari hingga Oktober. Dari segi kadar pertukaran nominal, ia menyusut sebanyak 9.8 peratus,” katanya sambil menambah ini disebabkan oleh perubahan dalam peralihan dasar ekonomi maju, khususnya di AS.

Abdul Rasheed percaya ringgit akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh domestik dan momentum daripada pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan sekarang serta perbezaan kadar faedah yang mengecil antara AS dan Malaysia.

Beliau berkata, peserta pasaran kewangan juga menjangkakan penurunan selanjutnya kadar oleh Fed AS menjelang 2025.

Namun begitu, beliau berkata perubahan dalam pentadbiran AS dijangka menyebabkan keadaan yang tidak menentu buat permulaannya, tetapi memberi jaminan Malaysia bersedia untuk bangkit semula seperti yang berlaku sebelum ini.

“Ringgit meningkat sebanyak lapan peratus selepas turun naik pada awalnya. Jadi kita juga boleh jangka perkara yang sama sekarang,” katanya.

Related Posts

Akar umbi akan beri sokongan jika UMNO bersama Kerajaan Perpaduan hingga PRU16

KUALA LUMPUR – UMNO meyakini bahawa akar umbi akan memberi sokongan terhadap keputusan parti untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Presiden UMNO, Datuk Seri Dr…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pas sepatutnya ‘terbubar sendiri’ berdasarkan wasiat Allahyarham Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – UMNO menganggap kenyataan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa ‘jika suatu hari nanti UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaannya,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerja senyap, bantuan tetap jalan demi mangsa banjir

Kerja senyap, bantuan tetap jalan demi mangsa banjir

Jeti Bintangor rangsang sosioekonomi penduduk setempat

Jeti Bintangor rangsang sosioekonomi penduduk setempat

Pantau pihak salah guna logo, sijil halal

Pantau pihak salah guna logo, sijil halal

Naim janji perjuang kepentingan semua lapisan masyarakat Kinabatangan

  • By Fandi
  • January 14, 2026
Naim janji perjuang kepentingan semua lapisan masyarakat Kinabatangan

Rujuk Perlembagaan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan isu UEC

Rujuk Perlembagaan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan isu UEC

Legasi Bung: Jafry harap Naim, MIHA teruskan perjuangan

  • By Fatin
  • January 13, 2026
Legasi Bung: Jafry harap Naim, MIHA teruskan perjuangan