
KOTA KINABALU – Program Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dilancarkan akan memanfaatkan lebih kurang 20,000 pelajar dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6 juta.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri terus komited dalam memperkasa sektor pendidikan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban pelajar.
“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM75.5 juta pada tahun 2025 bagi melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan kepada pelajar, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta mahasiswa di dalam dan luar negara.
“Pendidikan merupakan asas sangat penting kepada generasi muda sebagai wadah utama untuk menjadikan mereka pewaris negara yang berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia.
“Oleh itu, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi mengambil inisiatif membantu anak-anak Sabah dengan menyediakan pelbagai bantuan pendidikan dan sumbangan dalam meringankan bebanan dan tanggungan ibu bapa agar anak-anak tidak tercicir daripada arus perdana,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Program SENTOSA di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan dan diteruskan lagi pada tahun ini adalah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Insan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI).
Selain itu, Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS); Bantuan Insan Sekolah Sabah (BISBAH); Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS); Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU); Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA); Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY).

Beliau berkata, untuk inisiatif BUDI sahaja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan sasaran 10,000 pelajar manakala BAKTI sebanyak RM8 juta dengan sasaran 40,000 pelajar pada tahun ini.
“Semua ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bahawa kita terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan bagi meningkatkan mutu pendidikan di Sabah, termasuk penambahbaikan prasarana pendidikan.



