
KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan hasrat untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi parti itu dalam pilihan raya lalu.
“Salahkah bagi saya, kalau cakap kita pertahankan kerusi yang kita sandang?
“Jadi fikir-fikirkanlah. Jangan kerusi orang lain pun kita mahu ambil, bagaimana kita kerjasama,” kata Hajiji ketika mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) turut berminat untuk mendapatkan kerusi yang disandang oleh GRS sebelum ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pelancaran Sumbangaan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, pihaknya akan mengutamakan calon yang boleh menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kita berbincang dengan parti-parti komponen dan kita akan memperkenalkan calon yang boleh menang. Siapa menang, itu kita bagi.
“Memanglah kita akan pertahankan kerusi-kerusi yang kita ada sekarang ini. Tapi siapa boleh menang, kita akan bagi,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai agihan kerusi Gagasan Rakyat, Hajiji berkata, pihaknya akan berbincang dengan parti-parti komponen Gagasan Rakyat untuk menentukan agihan kerusi.
“Kita akan berbincang dengan parti-parti komponen GRS.
“Kemudian kita akan berbincang dengan parti gabungan kita dalam kerajaan iaitu PH Plus. Jadi bila sampai masanya kita akan selesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata kebijaksanaan dan kematangan dalam perbincangan adalah penting dalam menguruskan rundingan antara parti demi kebaikan negeri.
“Sebagai pemimpin, kita kena mempunyai kebijaksanaan dan kematangan terutama sekali dalam urusan kita.
“Berbincang bersama-sama untuk kebaikan negeri. Niat kita untuk membangun negeri,” ujarnya.





