
KLUANG – Polis mengingatkan semua pihak supaya tidak menyentuh perkara yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihak bertanding dalam PRK itu juga perlu memohon permit ceramah daripada polis bagi tujuan keselamatan selain tidak melakukan perbuatan seperti merosakkan bahan kempen pihak lawan.
Menurutnya, proses penamaan calon bagi PRK DUN Mahkota hari ini berjalan lancar dengan tiada insiden tidak diingini berlaku.
“Saya telah minta IPD Kluang untuk jumpa calon hari ini bagi taklimat peraturan. Polis akan memudah cara proses perjalanan demokrasi. Erti kata lain kami akan bantu namun memohon semua terlibat patuhi arahan semasa dari pihak penguatkusa dan juga peruntukan undang-undang.
“Sehubungan itu, kita beri amaran keras dalam kempen ceramah. Jangan sekali-kali sentuh isu 3R, jika berdegil tindakan tegas akan diambil. Kita akan memudah cara membantu, namun pihak terlibat ikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat penamaan calon PRK DUN Mahkota, hari ini.
Sementara itu, mengulas perkara berbeza, Kumar berkata, lebih 700 anggota dan pegawai polis bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir pada sepanjang PRK DUN Mahkota.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, polis bersama kerajaan Johor dan beberapa agensi lain akan mengenal pasti lokasi alternatif untuk pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana banjir pada hari mengundi nanti.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan setakat ini tiada kawasan ‘hotspot’ yang dijangka berlakunya banjir walaupun Jabatan Meteorologi merekodkan jumlah hujan lebih banyak pada bulan ini.
“Secara keseluruhannya, kita bersedia dengan keadaan semasa sekiranya berlaku banjir pada hari penamaan calon dan pengundian supaya proses kedua-dua hari tersebut berjalan lancar.
“Semua aset telah kita gerakkan, perancangan telah kita susun untuk pastikan proses PRK tetap berjalan lancar walaupun sekiranya banjir berlaku,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
SPR sebelum ini memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.