
KLUANG – Perikatan Nasional (PN) akui struktur barisan kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri tidak akan berubah meskipun parti itu berjaya meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota nanti.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhiddin Yassin berkata, walaupun demikian, pihaknya tetap berusaha untuk mengangkat calon ditampilkan oleh jentera parti berkenaan.
“Walaupun ia PRK dan tidak akan membawa sebarang perubahan dalam kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri, tetapi mesej yang nak disampaikan oleh PN adalah jelas dalam situasi membabitkan dasar-dasar kerajaan pusat ketika ini.
“Kita turut diberitahu yang profil pengundi di sini lebih kurang 55 peratus Melayu, dan berbaki bukan Melayu, namun kita anggap ia sebagai cabaran untuk bekerja lebih keras,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu hadir ke Pusat Penamaan Calon PRK DUN N29 Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, sebagai tanda sokongan kepada calonnya, Mohamad Haizan Jaafar.

Sementara itu, calon PN, Mohamad Haizan pula beranggapan, pemilihan beliau sebagai calon dalam PRK kali ini dianggap cabaran baharu memandangkan dirinya sebelum ini mempunyai latar berlakang dan pengalaman dalam arena sukan.
“Mungkin sebelum ini sebagai coach pasukan bola sepak, saya jaga kebajikan dan sukan sahaja, maknanya (jika berjaya menjadi ADUN Mahkota) semua hal kebajikan secara am akan saya bantu di daerah Kluang dan bukan majukan sukan di daerah Kluang sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan sama, proses penamaan calon yang diadakan pada hari ini berjalan lancar dengan menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan parti Barisan Nasional (BN) diwakili Syed Hussien Syed Abdullah dan Mohamad Haizan (PN).
PRK DUN Mahkota terpaksa diadakan susulan kematian penyandangnya daripada BN, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64 pada 2 Ogos.