
KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dilihat bukan sahaja mempunyai aura dalam menarik pengundi dalam kalangan anak muda, namun mampu memikat hati masyarakat untuk menyokong Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain fasih berbahasa Mandarin, Syed Hussien juga telah mendapat dokongan kuat dari parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan yang komited membantu UMNO pada pilihanraya berkenaan.
“Beliau yang berpendidikan di sekolah Cina mempunyai pemahaman yang dalam terhadap budaya, bahasa dan pemikiran orang Cina di mana hampir 35 peratus pengundi di Mahkota ini adalah orang Cina di mana, selain beliau juga Ketua Pemuda yang memiliki dokongan bukan hanya daripada pengundi muda yang melebihi 51 peratus (pengundi), namun turut mendapat sokongan mereka berumur 40 tahun ke atas.
“Calon kita mendapat dokongan daripada ketiga parti komponen. Saya ucap terima kasih Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah memulakan kerja kerja lebih awal. Itu sebab kita umumkan seminggu lebih awal daripada hari penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata demikin ketika ditemui pada Hari Penamaan Calon PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan pengundi luar DUN Mahkota menjadi cabaran utama, walaupun tidak mustahil untuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menakluk kawasan tersebut.
“Cabaran luar selain isu bersifat nasional, isu pengundi yang duduk di luar DUN Mahkota, khususnya mereka bekerja di Singapura.
“Bagaimanapun, kita parti-parti komponen kerajaan akan mencari jalan yang holistik dalam memastikan masyarakat yang layak akan keluar mengundi pada PRK DUN Mahkota pada 28 September 2024,”katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
SPR sebelum ini memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.