
PUTRAJAYA – UMNO perlu meletakkan calon yang boleh diterima rakyat, bukannya pemimpin yang popular di kalangan peringkat cawangan dan ahli parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, April hadapan.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, parti keramat Melayu itu harus mengetengahkan calon yang memiliki kriteria dan ciri ‘WALI’ , iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disenangi (likeable) oleh masyarakat tempatan.
Beliau berkata, pihaknya menyakini parti yang mewakili Kerajaan MADANI dijangka berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan selesa dan memenangi kerusi itu dengan keputusan majoriti, hasil dengan kerjasama kekuatan jentera parti-parti komponen.
“Dengan kerjasama dan bantuan Pakatan Harapan (PH) yang pernah mendapat undi lebih 6,000 dalam PRU yang lalu, maka UMNO/BN mampu meraih majorti lebih besar. Veteran berharap tidak akan ada masalah dengan calon yang akan diputuskan nanti oleh Presiden parti yang perlu diterima dan disokong penuh oleh Bahagian, Cawangan dan ahli UMNO.
“Pada masa sama, Veteran juga berharap semua jentera PH akan turun padang membantu bagi mempastikan pengundi Cina (6747) dan India (4609) akan mengundi calon UMNO/BN. Pemimpin Orang Asli juga mesti turun padang bagi mendapat sokongan 2156 pengundi kaum mereka,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Dalam pada itu, Mustapha menegaskan, pihaknya akan memberi tumpuan dalam berkempen terhadap 6,561 pengundi veteran, menggunakan slogan Keluargaku Pengundi BN, dalam memastikan lebih ramai menjadi mengundi gabungan tersebut.
“UMNO Malaysia bersama Veteran UMNO Negeri Perak dan Veteran UMNO Bahagian Tapah telah mengadakan perbincangan pada 9 Mac 2025 bagi menyusun program gerak kerja membantu calon UMNO/BN dalam PRK N48 Ayer Kuning sepanjang kempen dari 12 hingga 23 April ini.
“Sebanyak 40 program sembang santai berjumpa pengundi akan diatur disemua 20 PDM yang merangkumi 65 cawangan UMNO dalam DUN Ayer Kuning,” katanya.
Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Ayer Kuning, April depan telah disenarai pendek dan akan diumumkan seminggu sebelum tarikh penamaan calon.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon berkenaan adalah daripada enam senarai nama yang dikemukakan oleh bahagian dan perhubungan negeri melibatkan ahli UMNO Bahagian Tapah.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown.
Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.





