
KOTA KINABALU – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Seri Mustapha Sakmud menasihati setiap komponen dalam Pakatan Harapan (PH) agar menjaga keharmonian dalam rakan gabungan dalam proses meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah.
Ia susulan mengenai dakwaan wujud pertindihan calon antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Jelasnya, pihaknya sudah berbincang mengenai perkara tersebut dan menasihati mereka.
“Mereka akan fikirkan sama ada wajar atau tidak kerana ia melibatkan keharmonian antara rakan-rakan gabungan.
“Kami di pihak PKR Sabah amat menghormati ‘rule of incumbency’, maknanya kita akan menghormati hasil perundingan kerjasama antara parti,” katanya dalam sidang media selepas Jelajah Harapan Urang Sabah @ DU Inanam di BTC Bistro Inanam, di sini pada Isnin.
Mengulas mengenai calon bagi PRU akan datang, Mustapha berkata, gabungan calon terdiri daripada muka baharu, penyandang serta mantan penjawat awam dalam kalangan profesional.
“Barisan calon kita pelbagai, tetapi semuanya akan ditapis. Mereka mewakili PKR di mana Presidennya adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi mereka perlu memahami agenda reformasi dan menjayakan polisi Kerajaan MADANI untuk dibawa ke Kerajaan Negeri nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha menegaskan rundingan pembahagian kerusi di peringkat PH Sabah berjalan dengan baik antara parti-parti komponen termasuk PKR, DAP, UPKO dan Amanah.
“Di peringkat PH Sabah kita bincang dahulu kerusi mana yang akan ditandingi, kemudian senarai itu akan diberikan kepada Ketua Perunding untuk berunding dengan Barisan Nasional (BN) dan GRS,” jelasnya.
Beliau turut menolak spekulasi bahawa UPKO dan DAP akan berunding secara berasingan.
“Itu hanya spekulasi, setakat ini masih seperti biasa,” katanya.



