
KOTA KINABALU – Seramai kira-kira 300 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah bahagian Darau mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PKR Cabang Sepanggar dalam program Jelajah Harapan Urang Sabah yang berlangsung di BTC Bistro, Inanam, di sini pada Isnin.
Penyertaan beramai-ramai itu diketuai oleh Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik, yang sebelum ini merupakan Ketua Bahagian STAR Darau dan disambut secara rasmi oleh Ketua Cabang PKR Sepanggar, Datuk Peto Galim.
Menurut Peto, kemasukan kumpulan berkenaan menandakan perkembangan positif kepada kekuatan jentera PKR dan Pakatan Harapan (PH) di kawasan Inanam menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kami amat mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli baharu ini yang secara sukarela memilih untuk bersama PKR.
“Gerakan ini memberi suntikan semangat baharu dan diyakini akan memperkukuh kekuatan penuh kepada parti di kawasan Sepanggar dan Inanam,” katanya.

Sementara itu, Iskandar menjelaskan keputusan menyertai PKR dibuat selepas menilai prestasi serta pencapaian Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam pelaksanaan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“STAR ini bukan kami yang tinggalkan dia, tapi dia tinggalkan kami.
“Saya nampak dalam Parti Harapan ini dan PKR Inanam ini, mempunyai tenaga kuat, tenaga orang muda justeru itu saya mahu orang muda profesional dari parti STAR menyertai mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Iskandar berkata, hak MA63 bukan tertumpu kepada satu parti sahaja dan menyelesaikan perkara tersebut tidak mudah namun PH mampu menyelesaikan sembilan perkara dalam tempoh tiga tahun.
“Yang lain hanya retorik sebab kami pun kumpulan yang berpendidikan, kita bukan yang tidak pandai membaca, kita fasih dengan perlembagaan.
“Justeru, dengan adanya ketua seperti ini, saya percaya dan yakin kawasan Inanam ini lagi maju,” ujarnya.



