Pindaan Akta Perikanan 1985 isyarat Malaysia tegas pertahan kedaulatan negara

PUTRAJAYA –  Pindaan komprehensif terhadap Akta Perikanan 1985 (Akta 317) harus menjadi agenda utama Parlimen dan dasar luar Malaysia, bukan hanya demi pengurusan lestari laut, tetapi sebagai strategi dalam menjaga kedaulatan negara.

Pemerhati hubungan antarabangsa dan geostrategis Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, wujud keperluan Rang Undang-Undang (RUU) terbabit dipinda secara menyeluruh dan holistik susulan situasinya adalah mendesak, bukannya keperluan pilihan.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan bersifat unilateral atau ‘syok sendiri’ dalam menggubal dasar perikanan, tanpa mempertimbangkan keperluan perubahan struktur dalam sistem pengurusan, tadbir urus dan kerangka hubungan antarabangsa.

“Peningkatan kes aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal memperlihatkan bahawa Akta Perikanan sedia ada semakin tidak relevan untuk menangani ancaman moden terhadap sumber marin dan kedaulatan negara.

“Apabila kerajaan meminda Akta 317, ia bukan hanya mengenai kuasa menangkap nelayan asing, tetapi juga memperkukuh martabat undang-undang maritim negara. Ini adalah mesej bahawa perairan kita tidak boleh diganggu sesuka hati,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasrat Kerajaan MADANI yang akan membentang pindaan akta terbabit pada sidang Dewan Rakyat yang bermula 21 Julai ini, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan peraturan sedia ada, termasuk peningkatan kadar denda bagi kesalahan melanggar peraturan perikanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pindaan itu antara lain membabitkan usaha memperkukuhkan perlindungan terhadap taman-taman laut.

Selain itu, beliau berkata, mengenakan kawalan lebih ketat terhadap penggunaan peralatan menangkap ikan seperti pukat naga yang boleh memusnahkan habitat dan kawasan penetasan ikan.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpandangan, Malaysia boleh mempelajari pendekatan agresif diambil Indonesia yang membenarkan pelupusan bot nelayan asing secara serta-merta dan menggunakan sistem pemantauan kapal (VMS), selain Filipina yang mengenakan penaliti tinggi kepada pesalah di samping mewajibkan pelaporan dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

“Malaysia harus memperkenalkan mekanisme penguatkuasaan lebih efisien melalui integrasi data dan operasi antara pelbagai agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Perikanan, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

“Ketika ini, pertindihan bidang kuasa antara agensi bukan sahaja membazir sumber bahkan melambatkan proses membuat keputusan dan menyukarkan tindakan bersepadu di lapangan. Justeru, akta yang digubal perlu memiliki peranan menyelaras semua pihak, mengelakkan percanggahan arahan operasi, serta mempercepat tindakan undang-undang terhadap pelaku IUU,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata,
penglibatan institusi penyelidikan strategik seperti Maritime Institute of Malaysia (MIMA) perlu diperkasa dengan mandat yang lebih luas, termasuk akses kepada data perikanan merentas agensi dan peranan dalam memberi input dasar kepada kerajaan secara langsung.

Katanya, pusat kajian tersbut harus diberi dana mencukupi untuk menjalankan penyelidikan lintas disiplin mengenai keselamatan makanan laut, kelestarian marin dan hubungan geopolitik di rantau Asia Tenggara, khususnya berkaitan perebutan kawasan perairan bersama negara seperti China, Vietnam dan Thailand.

“Pindaan akta juga harus mengambil kira perkembangan teknologi seperti penggunaan satelit, dron, dan kecerdasan buatan (AI) dalam pemantauan aktiviti perikanan. Malaysia ketinggalan dalam penggunaan sistem e-pengawasan dan pengurusan data secara masa nyata.

“Teknologi tersebut mampu memberi amaran awal terhadap pencerobohan. Tanpa sistem ini, kelewatan tindakan penguatkuasaan terus membuka ruang manipulasi oleh nelayan asing dan sindiket transnasional.

“Sehubungan itu, kegagalan bertindak segera akan menyebabkan kehilangan hasil ekonomi negara, konflik perairan, dan penghakisan kedaulatan negara di hadapan kuasa maritim yang semakin agresif. Sumber perikanan negara semakin merosot, bukan sahaja dari segi kuantiti tetapi juga kualiti spesies marin yang semakin pupus akibat eksploitasi melampau,” katanya.

Related Posts

Subsidi bersasar jadi penampan hadapi krisis tenaga global

PUTRAJAYA – Kerajaan melaksanakan pendekatan subsidi bersasar sebagai mekanisme penampan dengan mengekalkan harga RON95 dan diesel tertentu, di samping membenarkan bahan api tidak bersubsidi diselaras mengikut harga pasaran bagi mengurangkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Retorik politik 40 peratus hak Sabah: Ewon dan Madius perlu letak jawatan

KOTA KINABALU – Sikap segelintir pemimpin yang dilihat semakin lantang mengkritik dalam isu tuntutan 40 peratus Sabah namun pada masa yang sama gagal memainkan peranan sebenar dalam memastikan penyelesaian yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Subsidi bersasar jadi penampan hadapi krisis tenaga global

Subsidi bersasar jadi penampan hadapi krisis tenaga global

Retorik politik 40 peratus hak Sabah: Ewon dan Madius perlu letak jawatan

  • By Ynom
  • April 10, 2026
Retorik politik 40 peratus hak Sabah: Ewon dan Madius perlu letak jawatan

Bekas Pengerusi SPR tutup usia

Bekas Pengerusi SPR tutup usia

Kerajaan galak penggunaan skim ToU untuk bantu rakyat jimat bil elektrik

Kerajaan galak penggunaan skim ToU untuk bantu rakyat jimat bil elektrik

Kerajaan beri amaran terhadap syarikat salah guna pembelian bahan api

Kerajaan beri amaran terhadap syarikat salah guna pembelian bahan api

Tekanan kos global pengaruhi harga minyak negara – Amir Hamzah

Tekanan kos global pengaruhi harga minyak negara – Amir Hamzah