PIHAK yang mendesak pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu memahami sejarah kenegeraan sehingga terbentuk Perlembagaan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi dan Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop menegaskan, jika ada sebarang usaha untuk pelaksanaan UEC hendaklah memastikan ianya tidak terkeluar daripada kandungan Perlembagaan.
“Apa juga perkara yang hendak dilakukan, jangan terkeluar daripada apa yang terkandung dalam Perlembagaan sebab Perlembagaan itulah yang mengikat kita sebagai kesatuan bangsa,” katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan peluncuran dan penyerahan Kampung Angkat MADANI JKOM, di Kampung Sungai Mati, Matang dekat Taiping, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas desakan DAP yang mendesak Kerajaan MADANI untuk melaksanakan sekali gus mengiktiraf UEC.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan tunduk dengan mana-mana pihak untuk melaksanakan UEC yang jelas tidak selari dengan kandungan Perlembagaan negara.
Ismail turut menegaskan, apa jua cadangan untuk melaksanakan UEC mesti mengambil kira kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai agama rasmi Persekutuan.
“Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, agama lain boleh amalkan? Boleh. Bahasa Melayu sebagai rasmi Persekutuan, bahasa lain boleh belajar tak? Belajarlah…. Jadi apa apa pun nak cakap, jangan terkeluar daripada jalur itu,” katanya.




