Peruntukan besar bukti kerajaan tidak abai sekolah, konsisten jayakan Reformasi Fizikal Pendidikan

PUTRAJAYA – Peruntukan terbesar bagi sektor pendidikan menerusi Belanjawan 2025 jelas membuktikan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan asas pendidikan negara dan menjayakan ‘keadilan pendidikan’.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, usaha untuk menjayakan reformasi itu khususnya kepada kumpulan murid dari keluarga miskin telah menjadi fokus utama Kerajaan Madani sejak Belanjawan 2023.

Menurutnya, Belanjawan 2025 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu pula menyaksikan Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha untuk menggembleng pelbagai langkah dalam mengukuhkan asas pendidikan negara.

“Tiga tumpuan utama bagi sektor pendidikan negara di dalam Belanjawan 2025 iaitu penyediaan infrastruktur dan kemudahan sekolah yang lebih baik, menyediakan bantuan langsung kepada murid daripada keluarga miskin dan memperkasa aliran TVET jelas satu usaha
kerajaan untuk mengukuhkan asas pendidikan.

“Beberapa isu pendidikan negara kritikal seperti sekolah daif, penyelenggaraan kemudahan, keciciran pendidikan dan jurang digital diharap dapat diselesaikan dengan peruntukan dari Belanjawan 2025. Apa yang penting selepas ini ialah memastikan keberkesanan pelaksanaan dan kecekapan sistem penyampaian sistem pendidikan negara.

“Jika keberkesanan perlaksanaan dan sistem penyampaian pendidikan masih ditakuk lama dan tidak dipertingkatkan, maka sukar untuk kita melihat kualiti pendidikan negara akan mengalami peningkatan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah diberi peruntukan tertinggi sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun ini.

Dalam pada itu, Anuar turut mengharagai segala usaha kerajaan persekutuan yang dilihat amat konsisten dalam menjayakan Reformasi Fizikal Pendidikan negara, menyaksikan peruntukan hampir RM8 bilion disedikan untuk membina 79 buah sekolah baharu sejak tiga tahun lalu.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM berkata, bajet pendidikan bagi Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2023 terbukti sudah mengalami peningkatan hampir RM10 bilion.

“Ia dilihat bertambah daripada lebih RM55 bilion pada tahun 2023 kepada RM58 bilion (2024) dan ditambah lagi kepada lebih RM64 bilion (2025). Untuk 2023, hanya sembilan buah sekolah baharu dibina,

“Manakala bagi bajet tahun 2024 bertambah hampir tiga kali ganda kepada 26 buah dan pada bajet 2025 semakin bertambah kepada 44 buah. Jika kos kasar pembinaan sebuah sekolah RM100 juta, maksudnya dalam tempoh tiga tahun ini sahaja kerajaan bersetuju sediakan peruntukan hampir RM8 bilion untuk membina 79 buah sekolah baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Anuar berkata, aspek Reformasi Kurikulum Pendidikan dilihat tidak begitu memberangsangkan dengan hanya beberapa intervensi kecil setelah didesak oleh golongan ibu bapa dan para guru.

Katanya, Reformasi Kurikulum Pendidikan merujuk kepada Reformasi Pengajaran, Reformasi Pembelajaran, Reformasi Silibus dan Teknologi Pendidikan serta Reformasi Pentaksiran Pendidikan yang dilihat ketika ini sistem tersebut tidak begitu menyerlah.

“Hala tuju Reformasi Jaringan Pendidikan yang melibatkan masa depan pendidikan juga belum nampak dengan jelas walaupun ada yang telah berjaya, tetapi kesannya belum meluas. Ia merujuk kepada usahasama melibatkan ibu bapa, industri dan komuniti dalam pendidikan anak-anak seperti Program Sekolah Amanah oleh Yayasan Amir, Program Anak Kita oleh Yayasan Hasanah, Program STEM oleh Shell.

“Setakat ini hanya melibatkan segelintir sekolah sahaja sedangkan kita (Malaysia) mempunyai lebih 10,200 buah sekolah di seluruh negara yang melibatkan lebih 5 juta murid.

“Berikan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk menjayakan Reformasi Jaringan Pendidikan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pasukannya.
Elakkan diberi tanggungjawab ini pada guru-guru yang mempunyai KPI untuk mesti berada di dalam kelas untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.

Related Posts

Simpanan persaraan lebih terjamin dengan i-Legasi, i-Emas

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan i-Legasi dan i-Emas bagi memperkukuh jaminan kewangan serta memastikan kelangsungan simpanan persaraan ahli dalam jangka panjang. Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kecemerlangan holistik jadi teras pendidikan pelajar Johor

Kecemerlangan holistik jadi teras pendidikan pelajar Johor

Perpaduan bukan sekadar retorik politik, tetapi tanggungjawab menjamin kestabilan negara

Perpaduan bukan sekadar retorik politik, tetapi tanggungjawab menjamin kestabilan negara

Remaja 14 tahun lemas ketika mandi di Rainforest Waterfall

Remaja 14 tahun lemas ketika mandi di Rainforest Waterfall

IPGM beri jaminan siasatan buli telus, tidak kompromi pelanggaran disiplin

IPGM beri jaminan siasatan buli telus, tidak kompromi pelanggaran disiplin

Pas tidak kreatif, tiru slogan UMNO

Pas tidak kreatif, tiru slogan UMNO

Tular video tangkapan: Suspek disiasat kes halang penjawat awam bertugas

Tular video tangkapan: Suspek disiasat kes halang penjawat awam bertugas