Perlis muncul pintu gerbang perdagangan baharu ASEAN

PADANG BESAR – Perlis berpotensi muncul sebagai pintu gerbang perdagangan baharu ASEAN menerusi pembangunan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin–Perlis Inland Port (PIP) yang dijangka memperkukuh perdagangan rentas sempadan dan merancakkan sektor logistik serantau.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, kedudukan strategik negeri itu di persimpangan Koridor Rel Daratan Intra-Asia dan Koridor Maritim Selat Melaka memberi kelebihan besar untuk berkembang sebagai hab perdagangan utama di rantau ini.

Menurut baginda, pembangunan PIP bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Perlis dan Malaysia sebagai pusat perdagangan serta logistik berasaskan pengangkutan darat.

“Jika negara-negara maju dikenali sebagai pusat perdagangan antarabangsa, Saya yakin Perlis juga berpotensi muncul sebagai pintu gerbang perdagangan utama ASEAN.

“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pelabur dan pemain industri, visi ini mampu direalisasikan,” titah baginda ketika merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin–Perlis Inland Port di sini hari ini.

Baginda bertitah, zon perdagangan bebas itu dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu menerusi peningkatan pelaburan, perdagangan rentas sempadan dan perkembangan sektor perindustrian di utara Semenanjung.

Pembangunan tersebut juga diyakini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membuka ruang lebih luas kepada generasi muda untuk meneroka pasaran global.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, PIP merupakan pusat logistik strategik yang bakal memainkan peranan penting dalam rangkaian perdagangan antara Malaysia dan Thailand.

Menurut beliau, kemudahan itu dibangunkan bagi menggantikan terminal kargo di Stesen Kereta Api Padang Besar yang kini hampir mencapai kapasiti maksimum.

Katanya, PIP dihubungkan terus dengan landasan utama Keretapi Tanah Melayu (KTM) menerusi spur line khas selain dilengkapi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang membolehkannya beroperasi sebagai kawasan berstatus bonded area.

“Kita berharap kawasan perindustrian di selatan Thailand akan menggunakan PIP sebagai pintu masuk eksport kerana ia mempunyai hubungan terus dengan Penang Port dan Port Klang.

“Ini akan memperkukuhkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand serta membuka laluan perdagangan yang lebih luas ke Asia dan Asia Tengah,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan PIP juga selaras dengan usaha kerajaan memperluaskan penggunaan rel dalam sektor logistik negara selain mempercepatkan transformasi sistem pengangkutan kargo yang lebih cekap dan mampan.

Related Posts

UiTM Sarawak perkukuh jaringan antarabangsa menerusi edisi keempat program CDBK 2026

KOTA SAMARAHAN – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa dengan menghimpunkan 53 delegasi dari tiga negara menerusi Program Come Discover Bumi Kenyalang 2026 (CDBK 2026)…

Lebih lanjut

teruskan membaca
ICU JPM Sarawak sedia peralatan bantu 55 penerima jana pendapatan

SIBU – Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) Sarawak menyerahkan sumbangan kepada 55 penerima eKasih menerusi Program Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI di Dewan LAKIS pada 29 Julai lepas. Majlis…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

ADUN Pas Perlis dilayan seperti pembangkang

ADUN Pas Perlis dilayan seperti pembangkang

Pertembungan epik Arsenal-Chelsea Ahad ini hangatkan musim baharu EPL

Pertembungan epik Arsenal-Chelsea Ahad ini hangatkan musim baharu EPL

UiTM Sarawak perkukuh jaringan antarabangsa menerusi edisi keempat program CDBK 2026

UiTM Sarawak perkukuh jaringan antarabangsa menerusi edisi keempat program CDBK 2026

ICU JPM Sarawak sedia peralatan bantu 55 penerima jana pendapatan

ICU JPM Sarawak sedia peralatan bantu 55 penerima jana pendapatan

Teliti isu dana jalan luar bandar secara teknikal, bukan dinilai sudut politik

Teliti isu dana jalan luar bandar secara teknikal, bukan dinilai sudut politik

AMK Sarawak seru budaya politik matang, tolak serangan peribadi terhadap Nurul Izzah

AMK Sarawak seru budaya politik matang, tolak serangan peribadi terhadap Nurul Izzah