KULAI – Inisiatif Dobi Kasih Rahmah yang diwujudkan oleh Komuniti MADANI Kulai menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) terus menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat apabila menyediakan kemudahan dobi layan diri 24 jam yang amat diperlukan masyarakat sekitar.
Terletak di Jalan Manggis, Kampung Pertanian, kemudahan tersebut dilihat berjaya memenuhi keperluan penduduk yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan agak jauh ke Bandar Putra atau pusat bandar Kulai semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan dobi.
Setiausaha Komuniti MADANI Kulai, Mohamad Shafwan Ani berkata, walaupun Dobi Kasih Rahmah itu baru memulakan operasi pada 11 Mei lalu, maklum balas yang diterima daripada penduduk amat memberangsangkan.
Menurut beliau, kewujudan dobi berkenaan memberikan kemudahan terutama ketika musim hujan apabila proses mengeringkan pakaian di rumah menjadi lebih sukar.

“Penduduk kampung menyambut baik kemudahan ini kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa dan kos perjalanan, malah memudahkan urusan harian mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa idea untuk mewujudkan Dobi Kasih Rahmah itu tercetus sejak pelaksanaan Program SejaTi MADANI pada tahun 2024, yang memberi ruang kepada komuniti setempat merancang projek berimpak tinggi berdasarkan keperluan sebenar penduduk.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan kejayaan konsep pembangunan komuniti berasaskan penyertaan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat.
Penduduk Kampung Pertanian menyifatkan kemudahan tersebut sebagai satu perubahan positif yang bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup, malah menjadi contoh bagaimana projek komuniti mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Kejayaan Dobi Kasih Rahmah Kulai dilihat sebagai bukti bahawa program berasaskan komuniti mampu menjadi pemangkin pembangunan setempat apabila dirancang dan dilaksanakan mengikut keperluan sebenar masyarakat.






