
BINTULU – Persiapan rapi yang diatur sejak September tahun lalu menjadi faktor utama kejayaan kerajaan Sarawak mengurus dan menangani impak bencana banjir dengan lebih efektif, meskipun berdepan ketidaktentuan cuaca.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah proaktif itu membolehkan jentera pengurusan bencana bertindak pantas memandangkan lokasi sebenar taburan hujan sukar diramal dengan tepat walaupun mempunyai data ramalan masa.
“Walaupun kita tahu ramalan masa (hujan), namun lokasi tepat ia turun agak sukar ditentukan. Justeru, persediaan awal menjadi keutamaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Hasil tinjauan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk di Sebauh mendapati bantuan disalurkan dengan teratur dan mencukupi. Mangsa juga berpuas hati dengan fasiliti dan penempatan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Abang Johari menegaskan aspek kesihatan mangsa tidak dipandang remeh, terutamanya bagi golongan rentan yang menghidap penyakit kronik.
“Kebajikan mangsa yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan strok telah ditangani dengan baik hasil kerjasama pasukan perubatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Malah, bekalan makanan juga dipastikan mencukupi dengan agihan dibuat sebanyak lima kali sehari bagi menjamin keselesaan mereka,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan situasi banjir di negeri ini menunjukkan perkembangan positif apabila sebahagian besar PPS telah mula ditutup.
“Setakat ini, 56 daripada 66 PPS yang dibuka sebelum ini telah ditutup sepenuhnya. Baki 10 PPS masih beroperasi menempatkan seramai 1,638 mangsa,” jelasnya.
Turut hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.




