
KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop menegaskan, persepsi masyarakat pada era media sosial kini lebih banyak dibentuk oleh maklumat, bukannya ilmu.
Ismail berkata, keadaan itu menjadi cabaran besar apabila maklumat yang berlegar di media sosial sukar dipastikan kesahihannya, sehingga menimbulkan kekeliruan dan ancaman terhadap kerangka pemikiran masyarakat.
“Politik ini hakikatnya tentang kuasa. Apa yang membezakan seorang ahli politik dengan yang lain adalah bagaimana mereka mendefinisikan kuasa itu.
“Namun cabaran lebih besar hari ini ialah apabila media sosial mendominasi kerangka pemikiran yang disebut sebagai persepsi.
“Persepsi dibentuk oleh maklumat, sedangkan yang diperlukan ialah perspektif atau ‘guiding ideas’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Menurut beliau, dalam suasana demokrasi terbuka dengan lambakan maklumat di hujung jari, masyarakat berada dalam keadaan penuh kekeliruan.
“Persoalan yang timbul sekarang ialah, adakah maklumat yang diterima itu benar atau dimanipulasi? Kebenaran kini menjadi isu besar yang perlu ditangani dengan bijaksana,” katanya.
Sehubungan itu, Ismail menekankan peranan pempengaruh sebagai ‘trendsetter’ dalam membentuk wacana awam, bukan sekadar bersikap defensif dalam berdepan arus media sosial.
“Orang melihat siapa pengikut di belakang seorang pempengaruh.
“Jadi, bagaimana kita mengimbangi peranan (pempengaruh) itu sangat penting supaya tidak dilihat sebagai terlalu ‘defensive’,” katanya.







