
KLUANG – Penggunaan isu 3R (kaum, agama, raja) oleh ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meraih undi pada pilihanraya perlu dihentikan sebelum memuncak ke tahap yang amat berbahaya.
Penganalisis politik, Dr Jamaie Hamil berkata, golongan itu seharusnya menunjukkan contoh baik dan bukan menjadi dalang dengan menggunakan isu 3R untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
Menurut beliau, suasana apa yang dilihat hari ini adalah hasil yang bermula penggunaan isu 3R dalam meraih undi manfaat politik dan kesannya berlanjutan yang dilihat boleh memecahbelahkan rakyat.

“Ini bukan lagi rasis namun memang sengaja mencari masalah besar (memainkan isu 3R) yang menimbulkan masalah sosial kepada politik negara agar pengundi menjadi gusar,
“Perkasa dari dahulu gemar melemparkan tuduhan tanpa mempamerkan bukti mahpun fakta yang kukuh. Tindakannya membuktikan sikap tidak bertanggungjawab sebagai sebuah pertubuhan (menyokong pembangkang) bagi tujuan hanya untuk mendapatkan simpati politik,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, hari ini.
Beliau mengulas mengenai sikap ahli politik dan NGO yang menggunakan 3R sebagai modal untuk kepentingan peribadi dengan kes terbaharu membabitkan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang didakwa menyentuh isu 3R dalam satu ucapannya ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kelmarin.
Beliau telah membuat tuduhan bahawa Malaysia bakal jatuh ke tangan kaum Cina berikutan kewujudan projek Forest City yang memberikan manfaat kepada golongan berkenaan.
Mengulas lanjut, Jamaie berkata, isu perkauman itu juga sudah ditegah oleh Raja-Raja Melayu namun ia masih berlaku berikutan isu berkenaan sangat dekat dengan pengundi, terutama Melayu kerana ia boleh mempengaruhi mereka dengan mudah.
“Isu Forest City ini perkara lama yang sudah pun dimainkan sejak 2008. Apa yang dilakukan Perkasa akan menjerat diri walaupun apa yang dilakukan untuk menarik sokongan pengundi kepada pertubuhan itu sendiri.
“Saya melihat mereka (pembangkang) tidak pernah serik dalam memainkan sentimen 3R, walaupun teguran telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong serta Ahli Parlimen. Justeru, bukan sahaja ahli politik, namun pertubuhan seperti Perkasa ini perlu hentikan permainan seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Jamaie berpandangan, individu yang menyentuh isu 3R wajar dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan tersebut amat serius dan boleh menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat negara ini.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tidak timbul isu pendakwaan kes berkenaan dijadikan sebagai satu ‘senjata politik’ sebaliknya tindakan undang-undang perlu diambil bagi menjamin kestabilan negara dan menghormati institusi diraja.
“Tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa. Jika tidak, sentimen berkenaan akan sentiasa dimainkan kerana ketika ini kita lihat setiap kali pilihanraya, ada sahaja isu 3R dimainkan. Kita perlu atasi masalah ini dalam memperkasakan kestabilan politik, selain perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Kita sentiasa melaungkan perpaduan di kalangan kaum namun ada sahaja pihak yang suka mengambil kesempatan. Sehubungan itu, tidak kisah siapa sahaja, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke, Tan Sri Muhyiddin atau sesiapa sahaja, kalau masih melibatkan isu 3R kena ambil peruntukan di bawah undang-undang bukan semata-mata hanya dakwa, lepastu senyap tanpa tindakan sewajarnya diambil,” katanya.


