
KLUANG — Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Mohamad Haizan Jaafar, mendakwa kerajaan negeri dan ketua kampung tidak mengambil sebarang tindakan susulan terhadap masalah banjir di Kampung Bentong Dalam di sini, hari ini.
Beliau yang juga dikenali sebagai Coach Haizan berkata, sekiranya terpilih sebagai calon di kawasan berkenaan beliau akan melaksanakan tanggungjawab sebaiknya menyelesaikan kemelut yang dialami oleh penduduk kampung berkenaan.
“Saya akan berusaha bagaimana mahu mengatasi masalah banjir, longkang ini perlu didalamkan, serta sistem perparitan yang tersumbat perlu diperbaiki.
“Masalah ini telah berlaku bertahun-tahun. Kerajaan lepas pun tak buat. Tadi dengar ketua kampung kata pun tak ada. Ketua kampung dulu ada buat sedikit. Ketua kampung sekarang sedikit pun tidak ada lakukan apa-apa.
“Dekat sini dah berapa tahun tak diambil tindakan? Dah lebih tujuk tahun mereka mendiami kawasan ini. Jangan kita cakap tidak serupa bikin. Yang penting cakap harus kerajaan kotakan janji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas bersama penduduk meninjau lokasi banjir sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Kampung Bentong, Kluang.
Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan akan membawa suara rakyat pada Sidang DUN Johor dan berazam untuk menjadi suara rakyat dalam memastikan kebajikan semua pihak terjaga.
“Sekiranya saya menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ini, insyaAllah saya akan mengambil tindakan mengenai perkara ini (banjir) dan menyuarakan di Sidang DUN serta akan menjadi pembangkang yang kuat suaranya.
“walaubagaimanapun akan paksa juga untuk selesaikan isu tersebut. Itu tugas dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.
Wartawan The Malaysia Press sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua kampung, dan penduduk Kampung Bentong Dalam berkenaan dakwaan tersebut.








