Perkataan ‘menyinggung’, ‘menjengkelkan’ kekal sah dalam Perlembagaan

MAHKAMAH Persekutuan hari ini memutuskan bahawa penggunaan istilah ‘menyinggung” dan ‘menjengkelkan’ di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah berperlembagaan serta boleh terus dikuatkuasakan.

Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, selepas membenarkan sebahagian rayuan kerajaan untuk mengetepikan penghakiman Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membatalkan kedua-dua istilah berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel berkenaan turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Seksyen 233(1)(a) memperuntukkan bahawa sebarang penggunaan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan komunikasi yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan tujuan menjengkelkan, mendera, mengugut atau mengganggu pihak lain merupakan suatu kesalahan jenayah.

Hakim Nallini ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu menjelaskan bahawa peruntukan tersebut digubal bagi mengekang penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi serta memastikan keselamatan pengguna di ruang siber.

“Seks­yen itu bertujuan melindungi individu dan masyarakat daripada mengalami sebarang kemudaratan akibat penggunaan perkataan tidak wajar sedemikian,” katanya sambil menegaskan bahawa peruntukan itu hanya menyasarkan komunikasi yang berada di luar lingkungan kebebasan bersuara dan kebebasan menyatakan pendapat.

Bagaimanapun, mahkamah berpandangan bahawa pendakwaan terhadap aktivis, Heidy Quah, tidak seharusnya diteruskan kerana kandungan hantaran beliau di Facebook berada dalam ruang lingkup hak kebebasan bersuara seperti dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dijadikan asas pertuduhan mengikut seksyen itu.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa istilah “menghina” dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 adalah tidak berperlembagaan selepas membenarkan rayuan Quah bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.

Heidy Quah sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Julai 2021 atas pertuduhan memuat naik kenyataan yang dikatakan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook.

Namun pada 2022, beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah memutuskan pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) itu adalah cacat.

Related Posts

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

KUANTAN – Cadangan operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak seimbang antara pengangkutan kargo dan penumpang dibimbangi tidak dapat memberi manfaat signifikan kepada orang ramai. Menteri Besar Pahang,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan untuk Kelantan daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion sebagai bukti keprihatinan terhadap pembangunan negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM