
KERAJAAN bersetuju melaksanakan pemberian potongan kadar tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebagai usaha membantu meringankan kos perjalanan rakyat ketika musim perayaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengumuman terperinci berkaitan pelaksanaan inisiatif itu akan dibuat oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam masa terdekat.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini membuat keputusan mengenai pemberian diskaun tol sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
“Butiran penuh, termasuk bagi kelas kenderaan dan jumlah diskaun tol akan dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan yang diadakan di Putrajaya, hari ini.
Fahmi berkata, langkah berkenaan sejajar dengan usaha kerajaan membantu rakyat merancang perjalanan dengan lebih baik serta mengurangkan beban perbelanjaan semasa musim perayaan.





