
PUTRAJAYA – Cadangan kerajaan yang mahu melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 adalah tepat pada masanya, susulan faktor kedudukan ekonomi negara yang ketika ini berada tahap baik.
Pakar ekonomi CGS International Securities, Nazmi Idrus berkata, paras itu dilihat sebagai detik optimum untuk kerajaan melaksana perubahan, berdasarkan pengukuhan ringgit dan penurunan harga komoditi global.
Menurutnya, inilah peluang keemasan buat kerajaan persekutuan melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 di Malaysia secara holistik dan sistematik.
“Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini serta kejatuhan harga minyak global telah membawa kepada penyempitan ketara margin antara bahan api runcit bersubsidi dan harga pasaran.
“Dengan pertumbuhan ekonomi domestik yang teguh dan keadaan politik stabil, kami berpendapat bahawa melaksanakan pembaharuan atau reformasi subsidi RON95 sekarang adalah paling tidak menggangu,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.

Bagaimanapun, Nazmi berpandangan penyelarasan hanya boleh dilaksanakan sekali, tidak boleh dibuat secara berperingkat seperti yang dirancang oleh kerajaan ketika ini.
Katanya, walaupun terdapat kebimbangan terhadap kenaikan kadar inflasi, namun data pada Jun dan Julai lalu membuktikan kesan yang minimum terhadap pengguna, hasil pemantauan berkala dan tegas dari kerajaan.
“Harga RON95 apabila diapungkan sepenuhnya berpotensi menjimatkan kerajaan kira-kira RM1 bilion sehingga dapat mengurangkan kadar defisit fiskal sebanyak 0.2 peratus daripada pendapatan keluaran dalam negara kasar (KDNK), dengan andaian tiada langkah mengimbangi.
“Kenaikan harga RON95 sebanyak 40 sen pada 1 Oktober lalu, boleh meningkatkan indeks harga pengguna (CPI) sebanyak 100 mata asas, daripada 2.0 peratus kepada 3.0 peratus tahun ke tahun. Kami mengunjur inflasi pada tahun ini kekal sederhana pada 2.1 peratus dengan peningkatan 2.5 peratus pada 2025.
“Ini adalah perbezaan harga paling sempit sejak Disember 2021 di tengah-tengah pembukaan semula pasca pandemik global Covid-19. Pada masa lalu, pelarasan manual kepada harga bahan api berjulat sekitar 10 sen hingga 60 sen. Sebab itu, penyasaran subsidi hanya boleh dibuat sekali sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Nazmi berkata, walaupun jangkaan pasaran untuk harga minyak Brent secara amnya sedang menurun, ia tetap dilihat memberi kesan terhadap sentimen ekonomi global dan merumitkan pelaksanaan dasar inflasi.
Jelasnya, Malaysia juga berpotensi menghadapi cabaran seperti keberkesanan pemberian tunai yang disasarkan dan kesan harga minyak yang turun naik terhadap prospek ekonomi negara.
“Unsur-unsur yang mendorong kejatuhan harga minyak juga melemahkan sentimen ekonomi global, yang boleh menjejaskan prospek ekonomi Malaysia dan meletakkan sebarang langkah yang memihak kepada inflasi.
“Bagaimanapun, kami berpendapat tiada masa yang lebih baik daripada sekarang untuk pembaharuan bahan api. Subsidi bahan itu menjadi batu penghalang bagi inisiatif hijau di Malaysia, lebih cepat ia dilakukan adalah lebih baik,” katanya.







