
SANDAKAN – Penubuhan segera Task Force khas Sabah–Sarawak amat diperlukan bagi mengatasi kelewatan projek Southern Link dan Grid Sabah–Sarawak yang kini menjejaskan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah meliputi Lahad Datu, Kalabakan dan Tawau.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kelewatan tersebut bukan hanya isu teknikal tetapi mencerminkan kegagalan pengurusan risiko oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Jika projek ini tertangguh kerana bahagian Lawas–Miri (Sarawak) belum siap, langkah pertama kerajaan yang bertanggungjawab adalah menubuhkan Task Force Sabah–Sarawak.
“Makanya, sebuah perbincangan perlu ditetapkan pada suatu tarikh dan pemantauan kemajuan haruslah dilakukan secara konsisten,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
Suhaimi turut menyifatkan cadangan itu sebagai langkah pentadbiran yang berkesan, selain menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang disifatkan mampu menyelesaikan isu tersebut.
“Kita harus ingat bagaimana beliau pernah tampil membantu menyuarakan isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu satu tindakan yang seharusnya memalukan Kerajaan Negeri Sabah kerana gagal menyelesaikan isu itu sendiri.
“Namun, tindakan beliau membuktikan bahawa pemimpin berwibawa tidak mengenal sempadan negeri apabila rakyat memerlukan bantuan,” katanya.
Dalam masa sama, Suhaimi turut mengkritik Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menurutnya lebih banyak menabur janji serta membuat pengumuman projek, namun gagal melaksanakan tindakan konkrit.
“GRS harus sedar bahawa mentadbir negeri bukan hanya tentang pengumuman atau merangka pelan tetapi membina mekanisme kolaborasi dengan negeri jiran serta memastikan rakyat menikmati hasilnya.
“Jika kelewatan berlaku, duduklah berbincang, bukan menuding jari atau bersandiwara di media,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Task Force Sabah–Sarawak ditubuhkan segera dengan penetapan tarikh akhir pelaksanaan yang jelas, mekanisme penjejakan awam (public tracking) dan audit terbuka.
“Langkah ini penting bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan projek serta membolehkan rakyat menilai sendiri prestasi kerajaan.
“Rakyat Sabah menuntut hasil, bukan drama politik. Nizam Titingan dan GRS perlu faham bahawa mentadbir negeri bermakna bertindak, bukan sekadar bercakap,” ujarnya.







