
SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya lebih cekap dan telus dalam menangani krisis air yang melanda daerah ini.
Beliau berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, JANS perlu memainkan peranan utama dalam memberikan penerangan jelas kepada rakyat berhubung situasi semasa serta langkah penyelesaian yang diambil.
“JANS mempunyai tanggungjawab untuk berkomunikasi dengan berkesan dengan rakyat, agar mereka memahami apa sebenarnya yang berlaku, bagaimana ia ditangani dan sejauh mana perkembangan yang dicapai.
“Sekiranya JANS memberi penjelasan sejak awal, sudah tentu tidak akan timbul panik dan kebimbangan dalam kalangan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Vivian, beliau sebelum ini menyatakan melalui hantaran di laman Facebook rasminya agar pentadbir media sosial tidak menambahkan kekeliruan rakyat, sebaliknya JANS perlu mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar.
“Saya bukanlah jurucakap JANS. Sebagai agensi bertanggungjawab, mereka sepatutnya tampil memberi penjelasan dan memikul tanggungjawab terhadap krisis bekalan air kali ini,” tegasnya.
Beliau turut mendedahkan, Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud sebenarnya mempunyai generator industri sandaran yang mampu menggerakkan sebuah pam air namun gagal diaktifkan kerana kekurangan diesel.
Katanya, kelewatan penghantaran diesel turut memburukkan keadaan, sekali gus melambatkan operasi loji.
“Dalam keadaan genting itu, saya sendiri terpaksa turun ke loji rawatan air dan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinabatangan untuk menyelaras bekalan diesel agar generator dapat diaktifkan segera,” jelas beliau.
Namun, tindakan tersebut disalah tafsir oleh pihak tertentu hingga timbul dakwaan tidak benar kononnya beliau menggunakan dana peribadi untuk membeli diesel yang akhirnya mencetuskan kekeliruan dan keresahan penduduk Sandakan.







