
PEMERHATI politik, Mohd Yusri Ibrahim, menyifatkan usaha Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, memperkasa penanaman bawang sebagai langkah strategik demi menjamin keterjaminan makanan negara.
Mohd Yusri berkata, inisiatif yang digerakkan oleh kementerian bukan semata-mata isu penanaman bawang, sebaliknya bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap import yang selama ini datang terutamanya dari India.
“Apabila berlaku perubahan iklim dan geopolitik, negara pengeluar akan mengurangkan eksport, lalu menyebabkan kekurangan bekalan serta kenaikan harga yang ketara.
“Justeru, usaha yang dibuat oleh Abang Mat sangat strategik untuk secara berdikit mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan, penanaman bawang yang dikongsi Mohamad Sabu di laman peribadinya bukanlah kerana kekangan kewangan, tetapi sebagai kempen mendidik masyarakat agar mempraktikkan pertanian kecil-kecilan bagi menampung sebahagian keperluan dapur.
Namun, jelas Mohd Yusri, segelintir pihak khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu masih mentertawakan dan memperlekeh usaha tersebut.
“Inilah mentaliti sebahagian orang kita, orang Melayu. Sama ada yang memperlekeh kempen tanam bawang atau orang susah yang asyik membeli keperluan asas yang sebenarnya boleh ditanam sendiri dengan mudah, isu utamanya adalah mentaliti. Jika miskin mentaliti, kita akan kedana segalanya,” ujarnya.
Beliau turut mengimbau pengalaman zaman kecil sebagai anak petani, apabila jiran tetangga lebih gemar membeli hasil pertanian seperti sayur-sayuran meskipun mempunyai tanah luas untuk bercucuk tanam. Fenomena itu menurutnya masih berulang hingga kini.
“Ramai membeli serai, lengkuas, halia, kunyit, daun kari, daun limau purut, limau kasturi dan sebagainya di pasar. Padahal semuanya boleh ditanam di halaman sendiri. Jika mereka berjimat dalam hal kecil ini, wang itu boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting,” katanya lagi.
Mohd Yusri menjelaskan, beliau sendiri mengamalkan penanaman bahan asas di kawasan rumah biarpun hanya menggunakan pasu.
“Saya memang tidak membeli serai, kunyit, halia, daun kari, daun bawang, daun kesum dan lain-lain kerana semua itu saya tanam sendiri. Bahkan ubi kayu pun saya tanam untuk ambil pucuknya buat ulam. Biarlah orang nak gelak atau memperlekeh, janji polisi kita penting dan berguna untuk negara,” katanya.
Beliau turut berpandangan sikap serta mentaliti yang enggan berubah menjadi cabaran utama bangsa Melayu dalam mencapai kejayaan.







