
KOTA KINABALU – Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam (FIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Amer Hudhaifah Hamzah menyuarakan solidariti penuh terhadap misi kemanusiaan antarabangsa Freedom Flotilla Coalition (FFC) 2025 yang disertai pertubuhan kemanusiaan Malaysia, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).
Menurut Amer, penyertaan MyCARE dalam flotila berkenaan membuktikan komitmen rakyat Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang sekian lama ditindas rejim Zionis.
“Sejak 1948, rakyat Palestin hidup dalam penderitaan tanpa kebebasan asas.
“Kehadiran 497 peserta dari 46 negara termasuk Malaysia dalam misi flotila ini menjadi bukti nyata solidariti masyarakat dunia terhadap Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Amer menjelaskan, flotila berkenaan membawa bantuan kemanusiaan seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan serta keperluan asas dan sama sekali bukan misi bersifat ketenteraan.
Bagaimanapun, katanya, keangkuhan Israel sekali lagi terserlah apabila Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas tentera Zionis sehingga mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
“Puluhan kapal GSF dipintas. Ramai peserta termasuk wanita, doktor, wartawan dan aktivis kini hilang hubungan.
“Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF ditahan tentera Israel,” katanya.
Tambahnya, tindakan Israel itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak kemanusiaan sejagat.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada MyCARE yang konsisten menyertai pelayaran flotilla sejak tragedi Mavi Marmara pada 2010.
“Fakulti Pengajian Islam UMS berdiri teguh memberikan sokongan penuh terhadap perjuangan ini.
“Kami berdoa agar misi suci ini dipermudahkan Allah SWT demi saudara kita di Gaza,” ujarnya.








