PENJAWAT awam diseru untuk bersama-sama melawan penyebaran naratif tidak benar serta penularan berita palsu di media sosial selaras usaha menjaga imej Kerajaan Madani.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tindakan ini perlu dilaksanakan secara berganding bahu berikutan terdapat sesetengah pihak yang memberikan gambaran negatif terhadap dasar-dasar kerajaan.
Shamsul Azri berkata, penjawat awam juga menjadi benteng hadapan kerajaan dalam konteks berkomunikasi secara berdepan dalam memberikan penerangan dan pemahaman kepada rakyat khususnya mengenai sesuatu isu atau perkara.
“Cabaran kita adalah melawan naratif yang tidak benar di media sosial dan media-media lain di negara ini. Lebih rumit lagi apabila penyebaran naratif palsu dan tidak tepat berkaitan usaha-usaha yang dilakukan kerajaan.
“Sudah pasti hal ini boleh menjejaskan kepercayaan rakyat serta menimbulkan keraguan kepada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Sebab itu dalam kerangka agenda reformasi perkhidmatan awam yang saya perkenalkan, saya menekankan tentang komunikasi total,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2025 di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penjawat awam juga perlu bertindak proaktif untuk bekerjasama dengan pihak media di Malaysia dalam memastikan komunikasi yang lebih telus, berkesan dan benar-benar dalam penyampaian informasi kepada khalayak.
Tambahnya, ia merupakan salah satu pesanan penting Perdana Menteri semasa perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.
Termasuk dari aspek tatakelola dan pengurusan strategik sehinggalah perlaksanaan yang berkesan dan membuahkan keberhasilan.
Dalam pada itu, Shamsul Azri turut mengingatkan penjawat awam mengenai kepentingan untuk mempelajari dan menambah kemahiran baharu seperti memantapkan penguasaan kemahiran Bahasa Inggeris lebih-lebih lagi menjelang Kepengerusian Asean 2025.
“Dan selain itu kita mestilah meningkatkan kemahiran baharu dikalangan penjawat awam, ini termasuklah dengan kemahiran digitalisasi serta kemampuan berbahasa inggeris dengan baik. Tambahan ini pula, tahun ini Malaysia menduduki kepengerusian Asean,” katanya.
Ujarnya, beliau juga turut sempat meninjau dan memantau persiapan Kepengerusian Asean di peringkat pegawai kanan dan pemukiman menteri-menteri luar Asean yang melibatkan lebih daripada 200 delegasi di Langkawi.
“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persiapan program dari aspek keselamatan, kesihatan dan protokol dan lain,” katanya.





