
NIBONG TEBAL – Keresahan pengundi Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan dilihat sudah mula menunjukkan tanda reda.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat keresahan pengundi Melayu di seluruh negara terhadap penubuhan Kerajaan Perpaduan, khususnya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Menurut beliau, dalam tempoh 18 bulan lalu pengundi Melayu mempunyai dilema berhubung persoalan adakah kepentingan mereka akan terabai atau negara akan dijual sekiranya ditadbir Kerajaan Perpaduan.
“Saya mohon sahabat-sahabat Tionghua dan India memahami perspektif orang Melayu di kampung yang membesar daripada seumur hidupnya tak pernah terfikir bahawa kerajaan akan bertukar.
“Tiba tiba kerajaan bertukar dan yang membentuk kerajaan itu dilihat parti pelbagai kaum bukan parti untuk orang Melayu semata-mata memang adalah keresahan itu.
“Alhamdulillah saya boleh sebut bahawa ada tanda-tanda keresahan terutamanya pengundi Melayu itu sudah mulai reda,” katanya pada Ceramah Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Kampung Makau Suah, malam tadi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pelbagai penerimaan positif yang diterima daripada pengundi selepas jentera menjalankan kempen dengan mengadakan kunjungan
dari rumah ke rumah menuju dari satu kampung ke satu kampung sepanjang tempoh berkempen pada PRK Sungai Bakap.
“Kalau emosi itu masih lagi bergolak seperti yang cuba dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) dua, tiga hari masa saya keluar masuk kampung, pergi jumpa satu-satu (pengundi) paling kurang saya dah kena baling batu.
“Tapi Alhamdulillah nampak tenang begitu juga data-data yang diperoleh kalau kita berjaya gabung, gembleng kempen yang baik, insya-Allah akan ada peralihan undi daripada kalangan pengundi Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi mendedahkan kaji selidik yang dijalankan mendapati pengundi sama ada tua atau muda tanpa mengira kaum menunjukkan rasa tidak berpuas hati terhadap prestasi khidmat wakil rakyat PN.
Menteri Ekonomi itu berkata, pengundi di Sungai Bakap sudah terbuka dan menyedari paling penting dalam membuat keputusan adalah memilih wakil rakyat yang boleh membantu menyelesaikan masalah setempat.
“Dia (pengundi) meluahkan perasaan nak minta cop susah, bantuan tak ada kalau pergi (mengadu) selalunya tidak ada ‘follow up’ atau tindakan selanjutnya.
“Jadi perkara itu diterjemahkan dalam kaji selidik dan bila kita turun rumah ke rumah, memang itulah orang cakap sebab itu saya cabar dari minggu lalu (bentang rekod prestasi) sehingga sekarang tak jawab,” katanya.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 24 Mei lalu, sejumlah 39,279 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.