
USAHA kerajaan memulihkan nilai ringgit merupakan langkah asas penting dalam memperkukuh struktur ekonomi negara, sekali gus mengurangkan tekanan kos sara hidup secara berperingkat dan mampan, kata pemerhati politik, Norman Daud.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata persepsi bahawa pengukuhan ringgit tidak memberi kesan kepada rakyat kerana harga barangan masih tinggi adalah naratif mengelirukan yang sering dimanipulasi pihak tertentu tanpa memahami kerangka analisis ekonomi yang betul.
Norman berkata, ringgit yang lebih kukuh berperanan besar dalam mengekang inflasi import, iaitu komponen inflasi paling sukar dikawal oleh kerajaan memandangkan Malaysia masih mengimport sebahagian besar makanan, baja, ubat-ubatan dan input industri.
“Apabila ringgit lemah, kenaikan harga global akan dipindahkan terus kepada pengguna tempatan. Ringgit yang lebih kukuh bertindak sebagai ‘penampan’ dengan memperlahankan pemindahan kos ini ke dalam ekonomi domestik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pengukuhan ringgit membantu meringankan beban hutang luar negara apabila kerajaan dan syarikat yang mempunyai pinjaman dalam dolar Amerika Syarikat atau mata wang asing lain dapat membuat pembayaran balik dengan kos lebih rendah, sekali gus mengurangkan tekanan fiskal dan risiko kewangan.
Selain itu, katanya, kestabilan mata wang lazimnya hadir bersama peningkatan keyakinan pelabur, aliran masuk pelaburan serta disiplin dasar ekonomi yang konsisten, yang penting untuk pembinaan keyakinan ekonomi jangka sederhana dan panjang.
Norman berkata kos operasi industri juga berpotensi menurun memandangkan banyak sektor pembuatan bergantung kepada bahan mentah dan mesin import, sekali gus memberi ruang kepada penstabilan harga atau peningkatan margin perniagaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan harga barangan di peringkat runcit tidak bergerak seiring dengan perubahan mata wang dalam jangka pendek kerana dipengaruhi faktor lain seperti kontrak lama, struktur kos domestik, sewaan, logistik, gaji dan hutang perniagaan yang terbentuk ketika tempoh inflasi tinggi sebelum ini.
“Dalam literatur ekonomi, fenomena ini dikenali sebagai price stickiness, iaitu harga cenderung melekat ke atas dan lambat turun walaupun kos input mula reda,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan hujah yang membandingkan pengukuhan ringgit dengan harga runcit semasa sebagai tidak tepat kerana menyamakan pembolehubah makroekonomi jangka sederhana dengan realiti mikro jangka pendek.
Menurutnya, pengukuhan ringgit memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembetulan struktur tanpa mencetuskan kejutan ekonomi, termasuk menangani isu sebenar kos sara hidup seperti produktiviti rendah, kebergantungan kepada buruh murah, sewaan tidak terkawal serta ketidakcekapan rantaian bekalan domestik.
Norman berkata naratif yang menafikan kepentingan ringgit kukuh hanya mendorong penilaian ekonomi berasaskan emosi jangka pendek, sedangkan ekonomi yang sihat bergerak secara berperingkat bermula dengan kestabilan mata wang, diikuti penurunan tekanan kos, peningkatan pelaburan dan produktiviti, sebelum hasilnya dapat dirasai melalui pendapatan sebenar dan keseimbangan harga.
Beliau menegaskan usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memulihkan ringgit perlu dilihat sebagai prasyarat kritikal kepada pengurusan kos sara hidup yang lebih berkesan.
“Pengukuhan ringgit bukan penawar segera, tetapi ia adalah asas yang mesti dipulihkan terlebih dahulu. Tanpa mata wang yang stabil dan dipercayai pasaran, sebarang usaha menurunkan kos sara hidup hanya bergantung kepada subsidi sementara dan kawalan harga yang tidak mampan,” katanya.
Beliau berkata dalam pengurusan ekonomi, asas sentiasa mendahului hasil, dan pemulihan ringgit ketika ini mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh asas tersebut secara berperingkat.



