
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI akan melancarkan Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (Dashboard MA63) dalam satu majlis khas yang dijadualkan berlangsung pada Rabu, 28 Januari 2026 di Parlimen Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, ianya mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan pelaksanaan MA63.
“Langkah ini menjadi agenda nasional, bukan sahaja terhad kepada agenda Sabah dan Sarawak.
“Bermula 28 Januari, rakyat Malaysia boleh mengakses maklumat yang sahih berkaitan 29 perkara utama MA63 tanpa dipengaruhi politik dan ketidakpastian maklumat.
“Dashboard MA63 ini bakal boleh diakses melalui portal rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM),” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Tambahnya, jemputan rasmi telah diedarkan kepada semua Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketelusan serta pemantauan pelaksanaan MA63.
Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof.



