
KUALA LUMPUR – Pengguna rangkaian 5G di seluruh negara mencecah 53.35 peratus atau 18.19 juta langganan setakat suku keempat tahun lepas, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, ia adalah pencapaian terbaik dalam tempoh singkat dan merupakan langkah besar dalam usaha membangunkan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik kepada semua.
“Perkembangan positif ini antara dibentang dalam Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Dwirangkaian 5G yang saya pengerusikan di Kementerian Komunikasi hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi berkata, liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara juga telah mencapai 82.4 peratus dalam tempoh berkenaan sekali gus memperkukuh infrastruktur digital negara.
“Ini pasti membuka lebih banyak peluang untuk inovasi, meningkatkan produktiviti serta membawa kebaikan buat rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah Fahmi, mesyuarat berkenaan turut meneliti dan memutuskan beberapa perkara khusus berkait hala tuju Digital Nasional Berhad (DNB) serta rangkaian kedua 5G diterajui U Mobile, yang akan diumum tidak lama lagi.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan, liputan 5G tertinggi adalah di Kuala Lumpur iaitu mencecah 97.8 peratus, diikuti 97.3 peratus di Putrajaya, 96.9 peratus di Selangor, 96.3 peratus di Labuan, 92 peratus di Pulau Pinang, 91.4 peratus di Perlis dan 89.7 peratus di Melaka.
Sementara itu, semasa sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memberitahu Dewan bahawa setakat 31 Disember 2024, DNB telah membina 7,485 tapak pemancar 5G yang menyediakan 82.4 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara.
Menurut Teo, bagi negeri Perlis pula, DNB telah siap membina keseluruhan 44 tapak 5G seperti yang dirancang dan menyediakan 91.4 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk.
Jelasnya, penanda aras yang digunakan oleh DNB bagi mendapatkan liputan 5G di kawasan berpenduduk adalah berdasarkan bilangan infrastruktur dan ketersediaan isyarat 5G di kawasan yang disasarkan malah ia tidak bergantung kepada jenis peranti yang digunakan oleh penduduk setempat kerana perkara tersebut adalah faktor di luar kawalan DNB dan kerajaan.
“Antara faktor utama yang menjadi asas pengukuran termasuk liputan 5G yang disediakan di kawasan berpenduduk, iaitu bagi kawasan yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 orang per km persegi. Kadar liputan ini diperoleh melalui alat simulasi liputan menggunakan peta, dengan izin, Geographic Information System (GIS) dengan data populasi.
“Selain itu faktor ketersedian infrastruktur iaitu melibatkan bilangan tapak pemancar 5G yang aktif dan mampu memberikan perkhidmatan, termasuk keupayaan rangkaian untuk menyokong keperluan jalur lebar.
“Seterusnya, faktor kelajuan dan kapasiti rangkaian, di mana penilaian kelajuan dan kestabilan isyarat 5G yang ditawarkan, berdasarkan ujian lapangan dan laporan teknikal Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan,” katanya.
Teo Nie Ching menjawab soalan asal yang diberikan Rushdan Rusmi (PN – Padang Besar) yang meminta kementerian menyatakan penanda aras yang digunakan dalam mengisytiharkan bahawa kebanyakan tempat di Perlis telah melebihi 90 peratus capaian 5G ketimbang kebanyakan penduduk setempat masih lagi menggunakan peranti 4G.
Tambah Teo, meskipun kebanyakan penduduk setempat masih menggunakan peranti 4G, 90 peratus liputan 5G di kawasan penduduk di negeri Perlis menunjukkan ketersediaan liputan 5G yang luas di negeri tersebut, sekali gus memberikan kebaikan kepada pengguna peranti 4G yang bercadang untuk beralih kepada peranti 5G.
“Walau bagaimanapun, peralihan kepada peranti 5G bergantung sepenuhnya kepada keperluan pengguna (individu) dan pakej atau pelan 5G yang ditawarkan oleh pihak penyedia perkhidmatan,” ujarnya.





