Pemuliharaan warisan pemangkin ekonomi dan pelancongan negara – PM

USAHA memelihara dan menghidupkan semula bangunan warisan tidak seharusnya ditanggapi sebagai beban sejarah, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai aset bernilai tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, memperkasa industri kreatif serta mengukuhkan sektor pelancongan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting dalam memastikan warisan negara terus relevan dan berfungsi sebagai pemacu pembangunan bandar yang mampan.

Menurut beliau, bangunan warisan yang dipulihara dan diberi nafas baharu berupaya menarik kehadiran pelancong luar negara dan domestik, selain membuka peluang pekerjaan serta menggalakkan pertumbuhan perniagaan tempatan.

Memberikan contoh Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) di Jalan Raja, di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemuliharaan bangunan bersejarah itu bukan sekadar usaha mengenang masa lalu, sebaliknya satu ikhtiar untuk memastikan sejarah terus difahami dan dijadikan panduan dalam menghadapi masa hadapan.

“Usaha ini ialah teras kepada inisiatif WARISAN KL, iaitu pendekatan strategik kerajaan untuk menghidupkan semula tapak warisan utama Kuala Lumpur sebagai pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya,” katanya ketika berucap pada majlis penyempurnaan pemuliharaan BSAS oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata, pemuliharaan BSAS seiring dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, memandangkan kekuatan negara bukan sahaja terletak pada keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, malah pada naratif sejarah serta peradaban yang membentuk jati diri masyarakat.

Beliau berkata, usaha menghidupkan semula bangunan warisan turut mencerminkan hasrat kerajaan untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya moden dan progresif, namun tetap berpaksikan nilai serta akar sejarah.

“Seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2026, projek ini meliputi kesemua enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad selain pemuliharaan Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa.

“Kita juga harus pastikan rakyat biasa dapat menikmati kemudahan ini. Pemuliharaan BSAS menjadi antara manifestasi awal yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat, namun pemuliharaan tidak boleh berhenti pada struktur semata-mata. Bangunan warisan mesti dihidupkan,” katanya.

Anwar berkata, BSAS akan menempatkan Galeri Bandaraya Kuala Lumpur yang merakam perjalanan bangunan berkenaan serta sejarah ibu negara menerusi lima ruang pameran bertema yang merentasi tiga abad.

Selain itu, beliau berkata, Galeri Royal Selangor akan mempamerkan seni kraf piuter sebagai simbol legasi ekonomi, kreativiti dan keusahawanan masyarakat Kuala Lumpur yang berakar daripada sejarah perlombongan bijih timah.

“Saya yakin BSAS dan keseluruhan kompleks bersejarah ini akan terus menjadi cerminan identiti negara. Sebuah negara yang maju dan progresif, namun tidak terputus daripada akar sejarahnya, membangun bukan sahaja dengan kekuatan ekonomi, tetapi dengan jiwa, nilai dan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, keberangkatan Sultan Ibrahim ke majlis berkenaan membawa makna yang besar kerana mengingatkan semua pihak bahawa pembangunan negara sentiasa berpaksikan sejarah, dipandu nilai serta dilindungi institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan usaha ini, khususnya pasukan daripada Khazanah Nasional Berhad, semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Bangunan Sultan Abdul Samad dinamakan sempena Almarhum Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor ketika era pembinaannya, dan dirasmikan oleh Frank Swettenham, Residen-Jeneral British pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, pada 1897.

BSAS turut menjadi saksi penting sejarah negara apabila bendera Union Jack diturunkan buat kali terakhir tepat pada 12 tengah malam, 31 Ogos 1957, sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan British dan bermulanya era baharu Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Related Posts

Malaysia, Brunei tegaskan komitmen perkukuh hubungan dua hala

PUTRAJAYA – Malaysia dan Brunei menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin, berpaksikan amanah, kepercayaan serta kesepakatan dalam menghadapi cabaran serantau dan antarabangsa. Komitmen tersebut…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pelantikan Abdul Halim perkukuh SPRM, pacu agenda integriti negara

PUTRAJAYA – Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh institusi pencegahan rasuah, khususnya dalam keadaan semasa yang menuntut…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎