
PELANTIKAN Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) menerima reaksi positif warga maya apabila ramai tampil berkongsi pengalaman peribadi berkhidmat bersama beliau sebelum ini.
Rata-rata memuji keperibadian Malek Razak yang disifatkan sebagai seorang pemimpin berdisiplin, berintegriti serta menitikberatkan kebajikan anggota bawahan.
Seorang pengguna di Facebook, MRazif Abdolmotalib berkata, dia pernah berkhidmat sebagai tukang gunting rambut peribadi Malek Razak dan terkesan dengan sikap rendah diri serta keikhlasan beliau.
“Walaupun hanya menggunting dua atau tiga helai rambut, beliau tetap membayar. Solat lima waktu dijaga dan beliau tidak gemar perkara sosial yang melalaikan atau menyusahkan anggota bawahan.
“Pernah juga beliau mengurniakan pangkat Lans Koperal kepada seorang anggota prebet kerana selalu terserempak dengannya menunaikan solat Subuh di surau. Beliau jenis yang memudahkan urusan anggota, sebab itu Allah permudahkan urusan beliau,” katanya.

Kata MRazif, kepimpinan Malek Razak diyakini mampu mengembalikan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sebelum ini tercalar akibat beberapa isu dalaman termasuk berkaitan tadbir urus dan tender.
“Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, ATM akan kembali bermaruah. Semoga beliau dapat memulihkan kerosakan kartel tender dalam ATM,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi warga maya, Nbhan Julian, turut berkongsi pengalaman berkhidmat di bawah kepimpinan Malek Razak yang tegas dalam soal disiplin serta ibadah.
Katanya, Malek Razak pernah meninjau sebuah surau pasukan pada waktu Zuhur atau Asar, namun mendapati surau itu kosong.
“Beliau terus mengenakan hukuman kepada seluruh anggota dan pegawai unit itu supaya diwajibkan berjemaah di surau pasukan lima waktu selama seminggu tanpa pengecualian.
“Kali ini ATM memilih seorang pemimpin yang tepat,” katanya.

Terdahulu, Malek Razak dinaikkan ke pangkat Jeneral sebelum dilantik sebagai PAT berkuat kuasa mulai esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-633 (Khas) yang berlangsung pada 29 Januari lalu dan seterusnya mendapat perkenan baginda semalam.







