
PUTRAJAYA – Pelesenan penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet bukan sahaja membantu melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak dan wanita daripada terdedah kepada jenayah siber, malah ia juga dilihat sebagai satu peluang untuk negara meraih keuntungan hasil daripada mengenakan percukaian terhadap platform tersebut.
Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pelaksanaan percukaian ke atas pengendali perkhidmatan itu dilihat sebagai ‘win-win situation’ kepada kedua-dua pihak iaitu penyedia perkhidmatan dan syarikat penerbitan bahan.
Menurutnya, percukaian itu boleh dibuat apabila syarikat penerbitan bahan seperti agensi berita menggunakan platform media sosial dan pesanan internet untuk menyebarluaskan berita mereka manakala pada masa sama, penyedia perkhidmatan pula menggunakan bahan tersebut untuk mempopularkan dan meningkatkan ‘engagement’ syarikat mereka.

“Pelesenan itu perlu dilihat sebagai perkara yang boleh mendatangkan keuntungan kerana tidak ada bentuk-bentuk percukaian yang wujud kepada pengeluar atau pengendali platform media sosial, sudah tiba masanya mereka (penyedia) dikenakan satu bentuk pembayaran khusus berhubung dengan isu-isu kewartawanan dan perkara lain seperti mana yang wujud dalam negara-negara luar.
“Iaitu untuk membawa situasi menang-menang kepada pihak pengeluaran berita, kewartawanan dan industri-industri yang digunakan secara langsung dan tidak langsung oleh pengeluar platform media sosial dan internet untuk mempopularkan platform-platform mereka.
“Sudah pasti selain daripada algoritma-algoritma negatif akan mudah dikawal kerana platform media sosial ini harus bertanggungjawab untuk memastikan elemen berkaitan dengan isu berkepentingan negara diberi perhatian dan akur dengan sistem budaya logikal sesebuah negara seperti Malaysia walaupun mempunyai perbezaan dari segi geografi, kebudayaan dan tata kelola yang berlainan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.
Mengulas lanjut katanya, pelesenan media sosial dan pesanan internet itu penting bagi membawa satu bentuk perubahan baharu di mana elemen-elemen berkaitan apa yang disiarkan di media sosial itu diberi pendekatan khusus seperti sebarang algoritma yang menjurus kepada radikal dan subversif serta mengganggu gugat perpaduan identiti nasional, tidak dapat diakses dengan mudah.
“Ia amat penting untuk melihat isu Ini sebagai salah satu komponen utama dalam memastikan perkara yang berkaitan dengan kepentingan meletakkan identiti negara berasaskan daripada prinsip persekutuan dan rukun negara serta menyelamatkan kumpulan-kumpulan rentan yang mudah terdedah kepada pedofilia,‘child sexual abuse material’ (CSAM) dan jenayah sosial.
“Pengawasan pelesenan ini akan berfungsi untuk membantu pihak-pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membentuk kesepaduan yang baik, sistem ekosistem media sosial yang lebih harmoni menjurus kepada perpaduan setiap perkara yang tidak mengandungi unsur CSAM, jenayah, radikal dan subversif,” katanya.
Jelasnya, pelesenan media sosial itu akan membolehkan kerajaan memberikan satu tanggungjawab kepada pengendali platform untuk bersama-sama dengan agensi kerajaan seperti MCMC dalam mengekang aktiviti jenayah seperti memastikan maklumat yang berunsurkan jenayah disekat dengan lebih baik.
“Kerjasama pintar dan silang ini haruslah berlandaskan kepentingan negara dan persekutuan serta rukun negara demi untuk memastikan keselamatan masyarakat di mana apabila ada contoh algoritma-algoritma periklanan, perjudian, pelacuran dan pemerdagangan manusia dikenal pasti.
“Maka menjadi tanggungjawab secara bersama platform media sosial itu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memutuskan algoritma tersebut, memastikan penyiaran berita-berita yang boleh mendatangkan elemen radikal dan subversif termasuk periklanan yang tersirat membawa kepada elemen jenayah siber,” ujarnya.
Tambahnya, penguatkuasaan pelesenan tersebut tidak dilihat sebagai alat untuk menyekat kebebasan bersuara dan ia tidak berkepentingan dengan hak asasi.
“Sudah tentu pelesenan ini tidak berkepentingan dengan hak asasi selagi ia duduk dalam kerangka yang bersesuaian bagi membentuk teras utama berlandaskan identiti perpaduan negara yang berasaskan persekutuan dan rukun negara serta memastikan unsur-unsur jenayah itu tidak dapat dilakukan di dalam negara.
“Khususnya kepada kanak-kanak dan golongan yang menjadi mangsa serta keseluruhan masyarakat Malaysia kerana dalam kebebasan bersuara 10 (1) tertakluk hak untuk kebebasan bersuara, menyertai pertubuhan dan juga hak untuk berkumpul, membuat pertubuhan tetapi wujud juga limitasi untuk dalam 10 (1).
“Dalam 10 (2), 10 (3), 10 (4), limitasi ini penting untuk difahami bagi memastikan kita kekal dengan satu identiti yang dibentuk, budaya, cara tata kelola, prinsip kita dalam media sosial dan membawa satu keutuhan dari segi perlindungan kendiri, keselamatan masyarakat di dalam negara dan ekosistem media sosial itu secara keseluruhannya,” tambahnya.








