PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin luar yang mengunjungi negara ini daripada berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan dilontarkan pemimpin terbabit tidak seharusnya dilayan.
“Jangan dilayan sangat, kalau (ada pemimpin luar) nak jumpa (Mahathir) apa masalahnya… kalau (ada) kawan dia nak jumpa (tiada masalah), (tapi) tak ada.
“Baru-baru ini pemimpin Thailand, Jepun, Indonesia, Turkiye (berkunjung ke Malaysia), tak ada minta nak jumpa (Mahathir) dan kalau nak jumpa, tak akan saya kata jangan, jumpalah, bukan nak rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi di Bahrain, semalam.
Sebelum ini, Mahathir menerusi temubual dalam sebuah rancangan podcast mendakwa kerajaan pimpinan Anwar menghalang beberapa pemimpin asing daripada berjumpa dengannya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dakwaan dibuat Mahathir itu tidak seharusnya dijadikan isu.
“Jangan dilayan, hari-hari dia buat dakwaan, (kata) dia mana ada duit, (tapi) anak dia RM1 bilion lebih, bukan pertuduhan, itu pengakuan dan saya tak tahu pula dia cari (duit tapi) tak jumpa bawah televisyen,” katanya.






