PUTRAJAYA – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diperkenalkan kerajaan sejak 2012 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula sesi 2025/2026.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bantuan RM150 itu akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar membabitkan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
Katanya, agihan bantuan itu kepada pelajar Tingkatan Enam sedia ada akan dilaksanakan pada Februari 2025, manakala pelajar baharu pula akan menerimanya pada Julai tahun hadapan.
Beliau berkata, perluasan BAP kepada pelajar Tingkatan Enam adalah cerminan keprihatinan Kerajaan Madani untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam membuat persediaan keperluan persekolahan anak-anak.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam.
“Ia adalah satu langkah ke hadapan untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan Tingkatan Enam,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 dan perasmian naik taraf dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Tumbuk, dekat Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Fadhlina berkata, KPM sentiasa beriltizam meningkatkan akses pendidikan di setiap peringkat melibatkan semua jenis sekolah bawah kelolaannya.
“Ini termasuk dengan meluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional dan pendidikan Tingkatan Enam,” katanya.
Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025, mengumumkan BAP diteruskan dengan hampir RM800 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
Bantuan berkenaan adalah satu daripada 17 bantuan pendidikan yang terus disediakan kerajaan bagi sektor pendidikan dengan peruntukan keseluruhan RM5.3 bilion.






