
KUANTAN – Pengundi kali pertama (Undi18) dilihat memainkan peranan penting dan terus menjadi fokus penyumbang utama kemenangan parti bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Justeru, pelbagai pendekatan dan langkah strategik perlu diambil bagi mendekati kumpulan ini.
Perkara itu antara dibincangkan dalam Mesyuarat UMNO Cawangan FELDA Kota Gelanggi 3, dekat Jerantut yang berlangsung lewat petang semalam.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud ketika berucap merasmikan mesyuarat itu berkata, tugas utama jentera di peringkat akar umbi adalah untuk mendekati kumpulan ini.

“Kita tidak boleh nafikan peranan dan sumbangan ahli akar umbi UMNO dalam memastikan kelangsungan parti dalam kalangan anak muda.
“Untuk itu, program turun padang perlu diperbanyakkan dengan memberi tumpuan khusus kepada anak-anak muda yang kali pertama (Undi18) akan mengundi pada PRU ke-16 (PRU16).
“Kita dah tengok kesan dan pengaruh undi golongan muda dalam PRU ke-15 dan kalau boleh untuk PRU akan datang, undi mereka akan berpihak semula kepada UMNO,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua ahli UMNO Bahagian Jerantut untuk melupakan perselisihan yang pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, kekuatan UMNO terletak kepada persefahaman antara ahli dan kebijaksanaan pimpinan mengatur gerak kerja yang berkesan.
“Kejayaan dan kemenangan parti bukan diletakkan atas satu atau dua individu… ia membabitkan penglibatan ramai, ahli dan pemimpin.
“Parti ini bukan milik pemimpin, tapi milik semua ahli dan menjadi tanggungjawab kita untuk memberi sokongan dan kemenangan kepada UMNO terutamanya di Pahang,” jelasnya.




