
TAWAU – Seorang Pegawai Imigresen tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau pada Selasa atas 17 pertuduhan menerima rasuah RM14,250, pada 2023.
Tertuduh, Katika Dewiana Bacho, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang berkenaan untuk diri sendiri tanpa balasan yang dipindahkan dari akaun seorang lelaki Eryano Jabar, 58.
Semua suapan didakwa diterima tertuduh daripada individu yang mempunyai hubungan kerja rasminya apabila Eryano berperanan menguruskan warga asing melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kaunter pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Tawau antara Januari hingga Mac 2023.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri dua bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab@lahab.





