
PENGARAH Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop menyifatkan, Belanjawan 2026 sebagai suatu persembahan yang mahu dikongsi bersama semua pemegang taruh, bukan semata-mata keputusan di peringkat eksekutif.
“Secara konvensional, orang melihat belanjawan ini sebagai keputusan di peringkat eksekutif, bercakap tentang tadbir urus dan tata kelola. Namun sebenarnya, Perdana Menteri bukan sekadar membaca teks, penghayatannya jelas dalam setiap perkara yang dibentangkan,” katanya dalam siaran podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, mereka yang terlibat dalam penyediaan belanjawan merupakan pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman dan profesional, dibantu oleh panel serta hasil libat urus dengan pelbagai pihak sebelum pelaksanaannya.
“Penyediaan belanjawan ini bukan dilakukan mengikut selera mana-mana pihak. Sebab itu kita ada belanja urus, belanja pembangunan, ada SOP, tatacara dan kaedah tersendiri,” katanya.
Mengulas perbezaan Belanjawan 2026 berbanding tahun-tahun sebelumnya, Ismail berkata pendekatannya kali ini bukan hanya bersifat ‘top-down’, tetapi turut mempunyai elemen ‘bottom-up’ yang mengambil kira keperluan rakyat serta situasi ekonomi semasa.
“Dalam pembentangan belanjawan, Perdana Menteri menyebut tentang usaha ‘meninggikan lantai dan menaikkan siling’. Ia menggambarkan kerangka ekonomi manusiawi yang menjadi dasar pengurusan ekonomi negara, dan turut menjadi teras kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelasnya.
Menurut beliau, penyediaan belanjawan kali ini tidak boleh dilihat sebagai doktrin semata-mata, sebaliknya manifestasi kepada semangat perkongsian dan tanggungjawab bersama dalam membangun negara.
“Dengan latar belakang cabaran ekonomi global yang tidak menentu, Tok Abah tidak menganggap belanjawan kali ini sebagai satu doktrin semata-mata, tetapi sebagai suatu persembahan yang mahu dikongsi bersama semua pihak berkepentingan,” katanya.
Ismail turut menegaskan bahawa keberkesanan Belanjawan 2026 bergantung kepada sejauh mana kelompok pelaksana memahami dan menterjemahkannya dalam bentuk tindakan.
“Antara kelompok yang perlu benar-benar memahami dan menghayati kandungan Belanjawan MADANI 2026 ialah kelompok pelaksana. Mereka bukan lagi sekadar juru cakap, tetapi penterjemah kepada usaha membangun Malaysia MADANI agar hasilnya dapat dirasai oleh semua pemegang taruh,” katanya.





