
ANTARA peristiwa yang paling bernilai bagi sesebuah negara ialah detik menyambut kemerdekaan kerana di sebalik tarikh itu terakam sejarah perjuangan yang panjang.
Banyak harga yang perlu dibayar untuk membolehkan momen itu dialbumkan; bukan setakat kerugian harta benda, malahan maruah diri dan nyawa.
Kemerdekaan milik semua pihak yang bencikan penjajahan. Sekecil manapun jasa dan peranan sesuatu pihak, peratusan itu tersebut tetap bermakna, selagi sumbangan itu benar-benar ikhlas.
Apabila sasaran itu telah tercapai – kemerdekaan telahpun dikecapi, peliharalah nikmat tersebut dengan penuh tanggungjawab.
Jangan ada tangan nakal, umpamanya memecahkan kemerdekaan berkenaan kepada bongkah politik kepartian sehingga menjadikan berbeza dan berepisod.
Hal itu ada impaknya!
Dalam hal ini, tindakan Pas mempamerkan ‘poster’ bulan kemerdekaan melalui media sosial tertentu dengan meletakkan lambang parti mereka baru-baru ini dirasakan sangat tidak wajar.
Tindakan itu dikhuatiri akan membawa kepada ‘perpecahan’ jati diri dan kebersamaan yang selama ini menjadi tunjang kekuatan negara ini.
Paling mudah dilihat, rakyat akan berpecah-belah; menanggapi kemerdekaan negara mengikut falsafah dan semangat yang berbeza.
Sekiranya ini dinormalisasikan, bagaimana mungkin jati diri rakyat negara ini dapat disatukan?
Pas, berhentilah menjadi pemecah belah.




