KUANTAN – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng tidak menjadi batu api yang boleh mencetuskan masalah lebih besar hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau memandang serius kenyataan Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai.
Katanya, kenyataan sedemikian tidak membantu, malah boleh mengeruhkan keadaan ketika pimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap beberapa isu yang timbul kebelakangan ini.
“Saya ingin mengingatkan Lim Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar.
“Jika beliau mempunyai pandangan negatif terhadap UMNO dan BN, beliau juga perlu memahami bahawa ramai dalam UMNO dan BN mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Rosdy berkata, demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat, semua pihak perlu bertindak matang dan profesional.
“Sebagai pemimpin senior, tanggungjawab kita adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan.
“Rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan,” katanya.








