
KOTA KINABALU – Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah melibatkan Pakej 6, 7 dan 8 di kawasan Parlimen Sepanggar menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan dan dijangka siap dalam tahun ini, sekali gus mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud berkata, beberapa pakej projek kini berada pada fasa hampir siap.
“Alhamdulillah, setelah mendengar taklimat daripada pihak JKR, saya melihat perkembangan sebenarnya amat baik.
“Ada beberapa pakej yang hampir siap dan kita jangka akan siap pada tahun ini, khususnya Pakej 6, 7 dan 8 yang melibatkan Parlimen Sepanggar.
“Penyiapan pakej-pakej berkenaan amat penting bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang kini menjadi antara aduan utama rakyat, khususnya di kawasan Sepanggar,” katanya ketika ditanya oleh wartawan The Malaysia Press semasa Taklimat Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Mustapha mengakui tempoh pembinaan sememangnya memberi kesan kepada keadaan jalan sedia ada, namun memuji langkah proaktif JKR dalam menangani isu kerosakan dan aduan pengguna.
“Memang semasa pembinaan akan ada jalan yang rosak, tetapi kita berterima kasih kepada pihak JKR yang berhati-hati.
“Mana-mana yang bermasalah akan dibaiki, diselenggara dan aduan daripada pengguna jalan raya dapat diselesaikan dengan baik,” jelasnya.
Mustapha turut meminta orang ramai agar bersabar dan terus memberi kerjasama, sambil menyatakan keyakinan bahawa masalah jalan raya dapat diselesaikan secara berperingkat melalui perancangan yang lebih menyeluruh.
Selain menumpukan kepada pelaksanaan Pan Borneo, beliau turut menegaskan keperluan kerajaan memberi perhatian serius terhadap kos dan perancangan penyelenggaraan jalan, sama ada jalan negeri atau persekutuan, demi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Selain kita menikmati kemudahan Lebuhraya Pan Borneo yang baharu, kita juga tidak boleh lupa untuk menyelenggara jalan-jalan sedia ada yang kini menjadi sumber aduan rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan kerajaan bukan untuk mencari kesalahan, sebaliknya memberi fokus kepada penyelesaian masalah demi kepentingan rakyat.
“Saya bukan cari salah. Kita cari solusi. Akhirnya kita kena berkhidmat untuk rakyat. Kalau jalan kita bagus, air kita bagus, saya rasa tidak ada orang nak bising atau viralkan. Semudah itu,” tegasnya.
Mustapha yang juga Ahi Parlimen Sepangar berkata, beliau berharap semua pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan agensi berkaitan dapat mempercepatkan pelaksanaan projek agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.
Turut hadir dalam taklimat itu, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Timbalan Pengarah Sektor Lebuhraya Pan Borneo JKR Sabah, Datuk Mohd Shamsul Nizam.






